Jasa, bakti serta pengorbanan seluruh warga cabang dalam menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) darat, laut serta udara akan sentiasa dihargai dan disanjungi, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau ini kerana mereka ini merupakan para perwira benteng pertahanan negara yang memastikan Malaysia terhindar daripada ancaman.
“Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut ATM yang Ke-88.
“Begitu juga para veteran ATM pahlawan yang setia mempertahankan kedaulatan negara di zaman mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi sejarah panjang ATM menentang komunis sehingga ke peristiwa pencerobohan Lahad Datu akan terus segar dalam ingatan.
“Peranan ATM dalam membantu memerangi penularan pandemik COVID-19 demi rakyat dan negara sama sekali tidak akan dilupakan.
“Selamat Menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-88. Terima kasih para perwira negara,” ujar beliau.