TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa tiada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat seperti beberapa kebimbangan dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, berkata pengisytiharan tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik Covid-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.
“Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.
“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat ini,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin juga mengulangi bahawa darurat tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain.
Beliau berkata, Malaysia berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang, justeru, ia tidak akan bertindak dengan cara yang boleh menghina prinsip undang-undang yang dipegangnya.
“Sehubungan itu, adalah penting bahawa komuniti perniagaan, baik domestik dan antarabangsa memahami ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, usaha memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan individu dan semua pihak ini perlu berganding bahu dalam membanteras krisis ini.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak Covid-19.
……….
OK. jika ya, kenapa menggantung parlimen tetapi membenarkan pusat urut dan hampir semua yang lain dibuka untuk membendung Covid?