MASJID TANAH: Beribu bangkai ikan pias dikesan terdampar di sepanjang Pantai Sungai Tuang hingga Telok Gong, di sini, hari ini.
Bangkai ikan berkenaan terdampar apabila dibawa ombak besar kesan daripada angin barat yang bertiup kencang mulai 3 petang ini.
Hingga lewat petang ini, jumlah ikan yang terdampar semakin meningkat berikutan angin kencang dan ombak yang semakin tinggi.
Nelayan, Mokhtar Bakar, 64, berkata, dia terkejut apabila turun ke pantai untuk membetulkan jaring ikan pada jam 4 petang ini.
“Semua yang mati hanyalah ikan pias, iaitu ikan yang berenang dan bermain secara berkawan di permukaan ombak dan saya percaya ikan itu terkena tumpahan minyak di tengah laut.
“Bangkai itu dibawa ombak dan angin barat ke gigi pantai, sekali gus menyebabkan pantai Sungai Tuang dan Telok Gong dipenuhi bangkai ikan itu,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan hari ini.
Penduduk Kampung Pengkalan Balak, Mohd Shafiq Zainal Abidin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapati pantai berkenaan dipenuhi bangkai ikan pada jam 4.30 petang tadi.
“Ini kali pertama saya jumpa beribu-ribu bangkai ikan pias di pantai dan saya percaya ada berlaku tumpahan minyak di tengah laut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon yang dihubungi berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai jabatan itu mengambil sampel bangkai untuk dianalisis.
“Saya tidak boleh beri ulasan banyak selagi belum ada keputusan analisis yang dijalankan oleh pegawai kami.
“InsyaAllah saya akan memberikan ulasan sebaik saja keputusan analisis diperoleh,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah yang turut meninjau keadaan itu berkata, beliau meminta Jabatan Perikanan menjalankan siasatan faktor kematian ikan berkenaan.
Beliau juga meminta Jabatan Laut menjalankan siasatan bagi mengesan jika ada berlaku tumpahan minyak kapal di tengah laut.
“Bangkai ikan ini sudah berbau dan saya harap ombak besar akan membawanya ke tengah laut semula,” katanya.