RIO DE JANEIRO: Hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh negeri Rio de Janeiro di Brazil.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 14 orang termasuk lapan kanak-kanak maut manakala lima lagi penduduk masih hilang dalam kejadian itu.
Jelas pihak berkuasa, mangsa termasuk seorang ibu dan enam anaknya tertimbus apabila tanah runtuh menghanyutkan kediaman mereka.
“Tanah runtuh di kawasan perumahan Ponta Negra mengorbankan seorang wanita dan enam anaknya yang berusia dua, lima, lapan, 10, 15 dan 17 tahun.
“Anak ketujuh berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital yang mana mangsa kini dalam keadaan stabil,” katanya.
Tambahnya, empat orang lagi dilaporkan cedera.
Enam lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak maut di bandar Angra dos Reis.
“Beberapa penduduk berjaya diselamatkan manakala lima lagi masih hilang,” katanya.
Presiden Jair Bolsonaro menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kerajaan Persekutuan sudah mengerahkan aset tentera untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, beliau juga sudah menghantar setiausaha tindak balas bencana negara, Alexandre Lucas ke negeri tersebut.
Kejadian terbaharu ini berlaku kira-kira enam minggu selepas tanah runtuh serta banjir mengorbankan kira-kira 233 orang di kawasan berbukit Petropolis. – AFP