- Tertuduh berusia 54 merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi.
- Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.
- Didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau dengan denda atau sebat
MUAR- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain hari ini mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, di sini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari lalu.
Tertuduh berusia 54 yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan pada 13 Januari lalu dalam sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire kira-kira pukul 5 petang di daerah Muar.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.
Terdahulu, dalam prosiding dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos, mereka mencadangkan jaminan sebanyak RM 5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguambela tertuduh, Muhammad Mohd. Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan polis dijalankan.
Majistret, Amalina Basirah Md. Top kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM 4,000 dengan seorang penjaminan dan menetapkan 3 Julai ini sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan.