KOTA BHARU: Dua pelajar sebuah pondok di Pasir Tumboh di sini, yang hilang di Sungai Machang, Limbat, petang semalam ditemukan lemas, jam 8.40 pagi ini.
Mayat Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman, 16, dijumpai terapung dalam keadaan berpelukan kira-kira 20 meter (m) dari lokasi kali terakhir mereka dilihat tenggelam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata, mayat kedua remaja lelaki itu ditemukan orang awam yang turut membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kami memulakan SAR pada 8 pagi tadi dengan membuat pencarian di permukaan menggunakan bot dalam radius 200 m di sekitar lokasi dan belum sempat melakukan selaman.
“Pada 8.40 pagi tadi, mayat kedua-dua mangsa ditemukan terapung dalam keadaan berpelukan oleh orang ramai tidak jauh dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, dua remaja itu menyertai sembilan lagi rakan dari pondok yang sama untuk mandi di sungai terbabit kira-kira 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, semua remaja terbabit dipercayai keluar daripada pondok tanpa kebenaran pihak pengurusan.
“Saksi memaklumkan ternampak seorang daripada mangsa tenggelam berdekatan dengan tempat dia mandi, manakala seorang lagi dihanyutkan arus, seterusnya tenggelam.
“Mereka dipercayai kali pertama mandi di kawasan itu dan kedua jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya.