TANJUNG MANIS: Dua lelaki maut selepas lori treler dinaiki mereka yang membawa sebuah jengkaut dipercayai tersangkut pada kabel elektrik dan terbakar, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis Wan Umar Wan Alek berkata, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Kampung Semalau menghala ke Kampung Jerijih di sini sekitar jam 9 pagi 19 Ogos 2022.
Menurutnya, mangsa ialah Hi Sieh King, 61, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia yang belum dikenal pasti identitinya.
“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis menerima laporan pada jam 9.15 pagi mengenai kebakaran sebuah lori treler yang membawa jengkaut dan sepasukan anggota bomba terus digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati lengan jengkaut yang dibawa oleh lori treler terbabit tersangkut pada kabel elektrik dan kebakaran sedang berlaku di tayar hadapan kanan lori.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati lengan jengkaut yang dibawa oleh lori treler terbabit tersangkut pada kabel elektrik dan kebakaran sedang berlaku di tayar hadapan kanan lori.
BACA seterusnya di: https://t.co/jSGLXQDmqO
………… pic.twitter.com/oZffqPHiF2— Kamaluddin 阿列克斯 தீன் (@KamaluddinIdrus) August 19, 2022
“Anggota bomba juga mendapati dua mangsa terbaring di tepi kanan lori dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama katanya, kakitangan SESCO yang berada di lokasi bertindak memutuskan bekalan utama elektrik di kawasan terbabit bagi membolehkan anggota bomba menjalankan tugas memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
“Anggota bomba memadam kebakaran tersebut menggunakan sumber air dari jentera bomba.
“Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari klinik berhampiran kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua mangsa dan mengesahkan mereka telah meninggal dunia,” kata Wan Umar.
Susulan itu katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.