Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]

[VIDEO] PH tidak bermuka-muka – Tok Mat

Pakatan Harapan (PH) yang bersikap tidak bermuka-muka menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk bersama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti tersebut membuat keputusan berdasarkan pilihan paling sesuai untuk membolehkan mengurus perbezaan.

“Persoalan seterusnya ialah kerjasama dengan DAP. Di sebalik pendirian UMNO sebelum ini, pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik. Ia mesti disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.

“Kita memang kenal pendirian mereka. Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.

“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara,” katanya semasa Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

Tambah beliau, sekiranya UMNO berpendirian untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN), parti itu hanya akan menjadi pemain ketiga yang berkongsi kepentingan demografi yang sama.

Jelasnya, ia hanya akan menyukarkan UMNO mengurus segala perbezaan di masa akan datang.

“Yang pasti, pilihan kita untuk bekerjasama dengan PH (Pakatan Harapan), telah menjadikan UMNO parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat UMNO lakukan jika menyertai kerajaan pimpinan PN kerana UMNO berada dalam kedudukan ketiga sebagai kuasa politik Melayu dalam perikatan sedemikian,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa Barisan Nasional tidak sama sekali menyertai PH.

“Ini mesti jelas dan difahami. Pada masa ini, UMNO adalah rakan sekutu, dalam Kerajaan Perpaduan, bukan parti komponen PH,” katanya.

[VIDEO] Teks Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda & Puteri UMNO 2022

https://pakdin.my/161752/

Sumbangan untuk memastikan blog ini terus bersiaran: Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]

Exit mobile version