GEORGETOWN: Tujuh kedai makan yang menjadi tumpuan penduduk setempat di Astaka Jalan Perak, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7.25 pagi di astaka berusia 38 tahun i tu bagaimanapun, tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fadzil Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 pagi.
Katanya, 18 anggota bergegas ke tempat kejadian dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong.
“Ketika tiba di lokasi, didapati api sedang marak membabitkan tujuh kedai makan di astaka itu.
“Bomba mengalami kesukaran ke tempat kejadian kerana kesesakan lalu lintas berikutan waktu puncak,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Fadzil berkata, api berjaya dikawal pada jam 7.41 pagi dan padam sepenuhnya 12 minit kemudian.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Difahamkan kesemua gerai makan berkenaan beroperasi pada tengahari dan hanya ada dua pembantu kedai di situ ketika kejadian.
Menurut Zahuni Alwi, 43, dia berada di lokasi itu pada jam 6.30 pagi bagi membersihkan kedai.
“Saya menyedari api menyambar kedai makan di sebelah dan dalam keadaan panik, saya hanya sempat mengangkat dua tong gas,” katanya ketika ditemui.