LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak pernah ‘ambil hati’ dan cukup faham dengan reaksi marah Mohamed Salah ketika dikeluarkan sewaktu seri 1-1 dengan Chelsea, kelmarin.
Ketika digantikan pada minit ke-77, Salah dilihat melemparkan pelekat tangan dan menggelengkan kepala, namun Klopp menjelaskan perkara itu benda biasa.
“Saya boleh faham kerana jika dia menjaringkan gol, ia mungkin satu lagi rekod (jaring gol pada aksi pertama), namun saya tidak fikirkan tentang perkara itu.
“Kami perlu kestabilan dan kena ada pemain lebih cergas kerana aksi ini cukup sengit. Hanya itu yang boleh saya katakan dan reaksinya bukan masalah.
“Dia adalah seorang penyerang yang mahu menjaringkan gol dan saya mungkin terkejut, namun tiada apa-apa yang tidak baik berlaku,” katanya.
BACA juga:
- EPL: Manchester City benam Liverpool 4-1
- Salah nadi kejayaan Liverpool belasah Watford
- Tak salah: Sifat ‘tamak’ Salah bantu Liverpool kata Klopp
The Reds bermula cemerlang apabila Salah melakukan lorongan menarik yang disudahkan Luis Diaz untuk mendahului 1-0 pada minit ke-18.
Liverpool dilihat selesa apabila Salah meledak gol kedua, namun jaringan itu dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofside.
Tersentak dengan serangan The Reds, skuad The Blues mula menguasai perlawanan dengan menyerang bertali arus ke arah kubu Liverpool sehingga membuahkan hasil apabila Axel Disasi ledak gol penyamaan buat Chelsea pada minit ke-37.
Pada masa sama, Klop juga menegaskan, hubungannya dengan Salah kekal baik kerana pencapaian diraih sebelum ini juga terhasil menerusi kecemerlangan pemain antarabangsa Mesir itu.
“Saya tidak fikir kamu lihat Salah meninggalkan padang dengan rasa gembira, namun saya adalah pengurus buat pasukan ini dan saya perlu lakukan keputusan ini.
“Saya tidak memusuhi Salah kerana kejayaan kami sebelum ini juga adalah hasil prestasi cemerlangnya,” kata Klopp. – AGENSI