KOTA TINGGI – Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang dijangka di bentang Oktober depan, bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku termasuk melibatkan kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan wajah video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa dikhuatiri akan menjadi mangsa penggunaan kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadi sasaran pedofil.
Mengulas insiden seorang pemandu bas yang memaparkan video kanak-kanak di dalam bas ke akaun media sosial miliknya sekali gus menjadi tontonan ratusan ribu, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, ia merupakan salah satu contoh perkara mudarat yang boleh berlaku.
“Inilah sebagai contohnya, kita takut kalau guna AI, gambar boleh potong belah kepala diganti dengan badan.
“Jadi dia sebagai penyedia kandungan dia rasa dia guna gambar kanak-kanak, ramai orang tengok tetapi yang tengok itu juga mungkin orang-orang yang ada niat tidak baik (pedofilia) dan guna AI untuk manipulasi yang dikenali sebagai deepfake.
“Jadi apa yang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri sebut (buat laporan polis), itu betul.
“Bagi pihak kami di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, kewujudan Akta Jenayah dalam talian kita perlu bentangkan secepat mungkin, yang saya sebut pada sesi Oktober ini dalam situasi sedemikianlah untuk beri maklumat kepada kalau ada keluarga yang tidak puas hati, mereka boleh buat laporan dan mohon turunkan gambar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas, di Kota Tinggi di sini pada Jumaat.
Azalina dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat (netizen) yang menyalurkan maklumat, komen dan respons berhubung insiden itu kepada pihak berkuasa sekali gus tindakan di ambil sewajarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seorang pemandu bas awal pagi tadi di Simpang Ringgam, susulan tindakannya memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya.
Menurutnya lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 2.57 pagi dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam seorang pengguna media sosial X, berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik pemandu bas sekolah yang merujuk seorang pelajar perempuan sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu bas sekolah dengan wajah pelajar jelas kelihatan.
Susulan itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.
Beliau berkata, kelakuan itu tidak boleh diterima dan menjadi normalisasi berikutan tindakan berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa, melanggar hak serta privasi kanak-kanak (Akta Kanak-Kanak 2001).
BACA juga: