55 peratus populasi Thailand sudah terima satu dos vaksin COVID-19 #pakdin.my

BANGKOK — Sebanyak 55 peratus penduduk Thailand sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 ketika kerajaan bersiap sedia menyambut kedatangan pelancong bermula 1 Nov. 

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata sejumlah 70,505,802 dos vaksin telah diberikan sejak kempen vaksinasi bermula pada 28 Feb lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sekitar 40 juta dos pertama dan 28.3 juta dos kedua manakala 2,133,579 dos ketiga atau penggalak.

“Pihak berkuasa kesihatan meningkatkan usaha vaksinasi terutama di destinasi pelancongan yang akan menyambut pelancong bulan depan. Lebih banyak vaksin akan diedarkan ke kawasan-kawasan ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Mulai 1 Nov, Thailand akan menyambut pelawat yang lengkap vaksinasi COVID-19 dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia dan mereka dikecualikan kuarantin.

Thailand berhasrat untuk menarik lebih satu juta pelancong bermula November hingga Mac.

Sementara itu, Apisamai berkata pihak berkuasa kesihatan awam akan mempercepat pemberian vaksin di wilayah selatan.

“Hingga kini, rata-rata 46 peratus penduduk di wilayah selatan sudah menerima suntikan vaksin COVID-19. Justeru, pihak kesihatan akan meningkatkan bekalan vaksin ke provinsi berkenaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya

Sejak 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 8,675 kes baharu COVID-19 dan korban seramai 44 orang. Secara keseluruhan jangkitan di negara ini berjumlah 1,859,157 kes dan kematian sebanyak 18,799 orang.

Berkaitan