SEREMBAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Kapitan berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, tengah malam tadi.
Kejadian jam 12.15 tengah malam berlaku ketika mangsa yang dipercayai dari arah Seremban menuju ke Sikamat, terlanggar bangunan kedai dua tingkat hingga menyebabkan keretanya terbakar.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.28 tengah malam bersama sebuah jentera, ambulans unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta 10 anggota.
Katanya, sebaik tiba di lokasi api sedang marak dan selepas memadamkan kebakaran pihaknya menemui seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan dalam keadaan 80 peratus rentung dan pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Kes ini diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk bedah siasat.