Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali mencuri tumpuan warga media sosial apabila mengulas mengenai isu penguasaan bahasa Inggeris di negara ini.
Baginda menerusi Twitter rasmi @cheminahsayang semalam mengakui tidak malu apabila salah dalam penggunaan bahasa Inggeris kerana ia bukanlah bahasa ibunda baginda.
“Ada masa bahasa Malaysia saya kurang betul dan saya malu, tetapi kalau bahasa Inggeris saya tidak betul, saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya. Saya anak Melayu,” titah baginda.
Tunku Azizah turut menambah di ruang komen posting tersebut.
“Pernah dengar tak orang Siam, Indonesia dan Filipina cakap orang putih? Sedap je slang mereka,” tulis Permaisuri.
Baru-baru, isu penguasaan bahasa Inggeris itu menjadi tular setelah satu tweet dimuatnaik oleh pelakon Maya Karin.
Maya memuat naik satu tweet mengenai pengalamannya yang bertanya soalan asas dalam bahasa Inggeris kepada seorang budak perempuan berusia 10 tahun di Terengganu.
Bagaimanapun katanyam soalan itu hanya dijawab budak perempuan berkenaan selepas dia bertanya dalam bahasa Malaysia.
Selain itu, Maya turut menyebut nama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk berbuat sesuatu mengenai situasi itu. – MalaysiaGazette