Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan didakwa di mahkamah, esok.
Dua ADUN terbabit akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka pagi esok.
Peguam mereka yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mengesahkan anak guamnya akan didakwa esok.
“Mereka bersama dua lagi individu yang diwakili oleh saya akan dituduh esok.
“Status pertuduhan individu lain yang ditahan saya tidak tahu,” katanya.
Difahamkan, seorang lagi individu yang diwakili oleh Ramkarpal ialah Ahli Majlis Perbandaran (PBT) di Melaka.
Ramkarpal tidak mendedahkan akta yang digunakan ke atas anak guamnya.
Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 lelaki yang disyaki ada hubungan dengan kumpulan pengganas LTTE kepada Pejabat Peguam Negara, Rabu lalu.
Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.
Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia bermula pada 2014.
Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.
Semua yang ditahan dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas terbabit.