- Setiap rakyat perlulah lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial (social distancing)
- Arahan itu dititahkan baginda selepas satu Mesyuarat Khas diadakan atas titah Sultan Selangor bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap 6.5 juta penduduk di negeri itu yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19 sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.
Baginda juga berharap tidak ada lagi rakyat Selangor yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.
Sehubungan dengan itu, baginda menitahkan beberapa langkah untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 termasuk menangguhkan semua aktiviti melibatkan masjid dan surau di negeri Selangor agar ditangguhkan sehingga 31 Mei ekoran Covid-19.
Dalam satu titah, Sultan Selangor mengarahkan supaya sepanjang tempoh itu aktiviti solat Jumaat, solat secara berjemaah, ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla itu dihentikan.
“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan solat-solat fardhu serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.
“Setiap rakyat perlulah lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial (social distancing).
“Patuhi peraturan dan arahan Kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” titah baginda.
Baginda bertitah lagi, sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.
Arahan itu dititahkan baginda selepas satu Mesyuarat Khas diadakan atas titah Sultan Selangor bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ia bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung ancaman wabak Covid-19 di Negeri Selangor.
Dalam pada itu, baginda dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu berkaitan wabak ini yang semakin menular.
“Baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka fake news yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.
“Baginda juga berharap agar rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” titah baginda. – MalaysiaGazette