Pengumuman kerajaan membenarkan kebanyakan syarikat beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa keempat mendapat reaksi negatif orang ramai khususnya golongan ibu bapa.
Rata-rata menyifatkan keputusan dibuat terburu-buru selain meminta kerajaan memaklumkan lebih awal agar dapat merancang urusan jagaan anak tidak bersekolah.
“Boleh tak umumkan seminggu awal supaya setiap orang boleh merancang normal baharu kerana anak-anak perlu dijaga.
“Sudah tentu kami tidak mampu mengambil amah. Apa kena dengan kerajaan ini?” soal Lely Ishak di Twitter.
Sementara itu, seorang lagi warga maya melihat segala usaha yang dijalankan barisan hadapan sia-sia jika makin banyak kluster baharu Covid-19 terhasil.
“Maka sia-sialah PKP yang KKM buat selama ini.
“Barisan hadapan hospital kecewa dengan tindakan seakan sabotaj kepada mengekang wabak ini, musnah sekelip mata,” kata SS Hikamaru pula.
Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menerusi satu kenyataan berkata, syarikat yang mendapat kelulusan dibenarkan beroperasi secara penuh.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat yang sudah mendapat kebenaran boleh beroperasi tanpa membuat permohonan semula. – ProjekMM