Hasrat kerajaan membenarkan syarikat yang mendapat kelulusan meningkatkan kapasiti operasi ditentang bekas pengacara televisyen.
Eisya Toh berkata, negara perlu dipastikan bebas sepenuhnya ancaman Covid-19 sebelum memutuskan kebenaran operasi syarikat secara maksima tanpa sekatan.
Meluahkan hasrat itu di media sosial yang ditujukan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Eisya turut mengepilkan foto menunjukkan kesengsaraan angkara Covid-19.
“Semoga gambar ini membuka pintu hati Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.
“Kita akan ‘berperang’ dengan virus ini dalam tempoh setahun. Kalau hari ini sudah ramai berkumpul dalam kilang, macam mana hendak banteras?
“Kalau macam tu, apa kata kita biarkan semua beraya, dah alang-alang penuh kereta hari ni,” katanya di Instagram, hari ini.
Jelas Eisya, banyak negara gagal membendung Covid-19 kerana tidak serius menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru katanya, Malaysia masih belum terlambat untuk membuat keputusan mengekang penularan Covid-19.
“Mungkin di Malaysia pun akan berlaku. Bukan pesakit rahsiakan tetapi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang izinkan.
“Ekonomi negara-negara besar turut terkesan dengan Covid-19. Begitu juga ‘kuasa besar’ China. Jadi projek apa yang kita kejarkan ni?” katanya lagi.