Kerajaan tidak akan menggadai masa depan hanya semata-mata untuk menjayakan projek memproses nadir bumi milik Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng.
Sebaliknya, menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, keputusan membenarkan Lynas beroperasi dibuat hasil kajian yang rapi terutama dari faktor keselamatan.
Bagaimanapun, fakta itu dinafikan pembangkang yang menjadikan isu itu untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
DATUK SERI ADNAN YAAKOB / MENTERI BESAR PAHANG.
“Saya la, saya tengok itu dokumen, laporan, tak kan saya mau orang ramai mati, sebab kita dapat sokongan dari orang ramai. Pembangkang guna isu ini untuk dapatkan undi, kerana ia tentukan kuasa, tanpa mengambil kira kepentingan orang ramai.”
Datuk Seri Adnan berkata, rakyat cuba dikelirukan dengan fakta yang tidak benar oleh pembangkang.
Lebih malang, pembangkang mengeluarkan fakta seolah-olah mereka pakar dalam bidang berkenaan.
Beliau sebelum itu menyampaikan sijil kepada peserta World Walking Day anjuran sebuah syarikat korporat di Taman Gelora, pagi tadi.
Kempen berjalan kaki ini diadakan di enam tempat serentak seluruh negara, termasuk di Putrajaya, Putatan, Sabah dan Johor Baru, bermula jam 6 pagi tadi.
Hasil kutipan satu ringgit setiap kilometer bagi setiap peserta akan disumbangkan untuk membeli 100 kerusi roda untuk golongan kurang upaya.