Tiada ihsan ke atas pengadil yang gagal melaksanakan tugas dengan baik selepas empat pengadil dilayangkan ‘kad merah’ dan empat lagi menerima ‘kad kuning’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid yang mengakui memang ada kekurangan dan kesalahan yang dilakukan pengadil dan penolong pengadil bertugas sekali gus menyaksikan ‘pengajaran’ perlu diberikan kepada mereka.
Bagaimanapun, Dali menegaskan secara keseluruhan, prestasi pengadil yang bertugas dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini berada pada tahap memuaskan.
“Berdasarkan penilaian yang dibuat, kita mendapati prestasi lapan pengadil berada pada tahap yang tidak dikehendaki. Jadi, atas sebab itu kita mengambil tindakan sewajarnya.
“Dua pengadil digantung dua minggu manakala dua lagi digantung sehingga ke tarikh yang akan ditentukan nanti. Empat lagi pula dikenakan amaran keras,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.
Di sebalik mutu pengadilan yang sering menjadi persoalan, Dali bagaimanapun menegaskan hanya empat laporan yang diterima daripada pasukan yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan mereka dalam saingan musim ini.
“Walaupun isu membabitkan pengadil dilihat agak kecoh sejak kebelakangan ini, namun hanya empat laporan yang diterima Jawatankuasa Pengadil FAM.
“Kita menerima empat laporan itu daripada UiTM FC, PJ City FC, Terengganu FC dan Sabah. Kebanyakan hanya dipersoalkan menerusi media cetak sahaja,” katanya.