Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP Ramkarpal Singh menyatakan kekesalannya bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohammad yang disifatkannya sebagai individu bertanggungjawab mencetuskan keadaan tidak stabil dan kerosakan kepada negara.
Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Ramkarpal turut menganggap ahli Parlimen Langkawi itu sebagai tidak layak menjadi perdana menteri buat kali ke-3 selepas meletak jawatan pada Februari lalu dengan mendakwa tidak mempunyai sokongan pada waktu berkenaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya bertanya kepada diri sendiri, tiadakah orang lain (layak menjadi perdana menteri)? Apakah kita akan melantik seorang yang pernah berjanji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim tetapi hari ini memberitahu beliau tidak sesuai.
“Mengapa beritahu kami sekiranya beliau anggap Anwar tidak sesuai? Untuk memenangi undi? Beliau juga adalah orang yang sama menjanjikan untuk melakukan perubahan dan akhirnya memberitahu tidak pernah menyangka untuk menang?,” katanya.
Ramkarpal berkata, beliau sebelum ini mempercayai Mahathir dan menghormati jasanya ketika mentadbir negara tetapi pada masa sama membidas pemimpin veteran itu kerana merosakkan sistem kehakiman dan memenjarakan ramai orang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Saya menyesal bekerjasama dengan kamu. Kamulah yang menyebabkan negara menjadi seperti sekarang. Kamulah menjadi punca mengapa negara memerlukan perubahan.
“Hari ini kamu kata hendak ‘menyelamatkan negara’? Kamu adalah orang terakhir boleh melakukannya,” katanya.