SINGAPURA: Syed Mohamed Peeran Syed Ameer Hamza dan isteri dilarang daripada mengambil pembantu rumah sejak 2015 namun dia menggunakan nama rakan perniagaannya untuk mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah pada 2018.
Syed dan isterinya, Sabah Parveen kemudian didakwa tidak memberi amahnya, Cik Aminah, rehat secukupnya setiap hari. Syed juga dituduh tidak membayar gaji amah itu untuk sekurang-kurangnya dua bulan.
Pada Isnin (7 Jun), pasangan itu minta dibicarakan atas beberapa tuduhan jenayah, termasuk menghalang keadilan dengan niat bersama.
Mereka berdua dituduh menghantar Cik Aminah, 32 tahun, pulang ke negara asalnya di Indonesia tidak lama selepas pegawai polis pergi ke unit kondominium mereka di Balestier pada Januari 2019.
Antara Julai 2018 hingga tarikh itu, pasangan tersebut juga didakwa gagal memastikan wanita tersebut diberi rehat yang secukupnya setiap hari.
Syed, seorang warga Singapura berusia 40 tahun, dan Sabah, penduduk tetap berusia 36 tahun, mempunyai dua anak kecil. Lelaki itu menghadapi empat tuduhan, sementara isterinya pula dua tuduhan.
Sebagai majikan de facto Cik Aminah, Syed juga dituduh gagal memastikan dia membayar semua gaji tertunggaknya sebelum wanita itu dihantar pulang, dan menghasut rakannya untuk berbohong bahawa beliau adalah majikan Cik Aminah.
Peguam belanya, Encik Adrian Wee dari firma undang-undang Characterist, memberitahu mahkamah anak guamnya tidak membantah unsur-unsur tuduhan tersebut dan mengakui dia adalah “pelaku utama”.
Namun, Encik Wee menambah bahawa Syed “tidak berada dalam kedudukan” untuk mengaku elemen niat bersama dalam dakwaan menghalang proses keadilan, yang menyatakan bahawa dia dan Sabah bertanggungjawab atas kesalahan itu.
Syed juga tidak tahu-menahu tentang berapa banyak waktu rehat diberikan kepada Cik Aminah setiap hari, walaupun dia tidak menafikan bertanggungjawab atas perkara tersebut, hujah Encik Wee.
FAKTA DIPERSETUJUI ANTARA PIHAK PENDAKWA, PEMBELA
Mahkamah diberitahu bahawa pada Mei 2015, Syed mendapat tahu bahawa dia dan keluarganya telah disenarai hitam daripada mengambil pembantu rumah hijrahan hingga 30 Jun 2019.
Dia kemudian menulis surat kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk merayu agar larangan itu ditarik balik, namun ditolak.
Dokumen mahkamah tidak menjelaskan sebab larangan itu, namun menyatakan bahawa MOM telah mempertimbangkan “semua maklumat yang relevan, selain kandungan tuduhan”.
Pada awal 2018, keluarga Syed mengambil Cik Aminah, yang berada di Indonesia ketika itu, untuk bekerja.
Pada Julai tahun itu, dia mengelak larangan mengambil pembantu rumah dengan memujuk kenalannya untuk memohon kelulusan secara prinsip agar Cik Aminah boleh bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura. Ini adalah langkah pertama dalam permohonan pas kerja.
Syed berada di Hong Kong ketika itu.
Dia meminta rakan kerjanya di Singapura, Encik Suresh Murugaiyan, untuk secara palsu mengemukakan kepada MOM bahawa Encik Suresh adalah bakal majikan Cik Aminah. Syed juga meminta lelaki itu meletakkan nombor telefon dan emel Syed.
Sistem Pas Kerja MOM secara automatik meluluskan permohonan Encik Suresh.
Cik Aminah tiba di Singapura pada 17 Julai 2018 dan mula bekerja untuk Syed dan Sabah.
Tidak lama kemudian, Syed meyakinkan Encik Suresh untuk menyerahkan borang perisytiharan permit kerja rasmi, yang sekali lagi menyatakan bahawa Encik Suresh adalah majikan amah itu.
Permohonan permit kerja diluluskan pada 14 Ogos 2018.
Cik Aminah, yang tidak pernah tahu tentang helah tersebut, juga tidak pernah bertemu dengan Encik Suresh dan menganggap Syed adalah beliau.
Cik Aminah dibayar gaji permulaan selama tiga bulan, dan tidak dibayar sekurang-kurangnya dua bulan sebelum meninggalkan Singapura pada 24 Jan 2019. Beliau dibayar ganti rugi S$1,000 pada hari itu.
PASANGAN DITUDUH SEMBUNYIKAN AMAH DARIPADA POLIS
Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chong Kee En berkata pihak pendakwa akan berhujah bahawa amah itu tidak dibayar selama tiga bulan. Sebaliknya, peguam Syed, Encik Wee, berkata beliau ” berpandangan” bahawa wanita itu dibayar pada November 2018.
Cik Aminah, yang tampil sebagai saksi pendakwaan pertama, memberi keterangan bahawa beliau hanya diberi cuti empat hari dalam dua bulan pertama, dan tiada lagi cuti bagi baki tempoh pekerjaannya. Di bawah undang-undang, pembantu rumah harus diberi cuti rehat setiap minggu.
DPP Chong juga berhujah Cik Aminah telah menghubungi Pusat Pekerja Domestik (CDE), yang kemudian menghubungi MOM.
Ketika kementerian itu menghubungi polis, para pegawai telah pergi ke kediaman pasangan itu di kondominium The Mornington. Mereka bertanya di mana Cik Aminah dan Syed didakwa menafikan bahawa wanita itu bekerja di situ.
DPP Chong berkata pasangan itu kemudian menyembunyikan Cik Aminah di tandas bilik tidur utama mereka dan memberitahunya beliau telah menimbulkan masalah besar dengan menghubungi polis.
Syed kemudian didakwa memadamkan bahan dari telefon bimbitnya, mengeluarkan kad SIM, menyembunyikannya di rumah jiran dan meminta pertolongan mereka untuk membawa Cik Aminah ke Lapangan Terbang Changi.
“Bukti akan menunjukkan bahawa apa yang terjadi kemudian adalah, pada malam itu, Syed menggunakan kad kredit Sabah untuk membeli tiket penerbangan ke Jarkarta, Indonesia,” tambah DPP Chong.
Perbicaraan disambung pada Selasa.
Jika disabitkan kesalahan menghalang keadilan, pasangan itu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.
– TODAY/SU/TQ/tq