Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Semalam beliau mengumumkan 80 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi tiga negeri berkuat kuasa Jumaat ini iaitu Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat, Pahang beralih ke Fasa Tiga dan Johor pula bakal memasuki Fasa Dua.
“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.
Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa Dua, Tiga dan Empat, adalah sama seperti sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut memutuskan ketetapan lain termasuk membenarkan kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam berkuat kuasa esok.
Selain itu, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Okt.
“Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling (selam permukaan), selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Okt dengan semua pengusaha, operator, pelawat dan pengunjung lengkap divaksin,” katanya.
Mengenai kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi, Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan hadir dengan kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.
Ismail Sabri berkata mesyuarat juga menetapkan warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.
“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab. Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.
— BERNAMA
Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial