Semalam tular berkaitan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memohon maaf kepada orang ramai susulan kesalahan penggunaan perkataan ‘lahabau’ yang dimuat naiknya di laman facebook ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam hal ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengambil kisah dengan menceritakan berkaitan ‘lahabau’ merujuk kepada rakannya yang juga berasal dari Terengganu.
“Masa PRN Melaka, ada orang kampung saya dari Terengganu sampai. Di gerai kopi, dia terdengar perkataan lahabau kau! Dia tanya apa makna? Kawannya jawab Itu cara orang Melaka mengalu-alukan kedatangan kawan2 dari negeri lain.
“Dia pun gembira dan mengucapkan benda sama kepada orang Terengganu lain yang baru sampai. Bila berucap dia mulakan dengan lahabau. Kawannya tadi berbisik, nak ucap boleh, tapi jangan kuat sangat dan tak perlulah buat poster pulak,” katanya menerusi penceritaan semula di laman facebooknya.
Sebelum itu Ahmad Shabery turut menceritakan berkaitan Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Johson yang berkunjung ke Malaysia pada tahun 1966.
“Banyak tempat yang dilawati termasuk di rancangan Felda yang sekarang dipanggil Felda LB Johnson Negeri Sembilan.
“Ada cerita lawak. Kononya ramai yang menunggu di sepanjang jalan sambil melambai tangan. Tapi ada beberapa orang anak muda yang menunjukan isyarat lucah yang tak difahaminya.
“Presiden bertanya kepada pegawai pengiringnya. Bimbang ia mendatangkan kemudaratan diplomatik dua negara, pegawai itu memberitahu itu tandanya orang Malaysia mengucapkan selamat datang ke Malaysia. Presiden gembira kerana banyak negara yang dilawati sebelum itu disambut dengan tunjuk perasaan,” katanya.
Terdahulu, Nie Ching dilapor menggunakan frame gambar di Facebook yang mempunyai perkataan “Lahabau Melaka, Jom Undi”, namun telah mengubahnya dan memohon maaf selepas mendapat pelbagai teguran.
Lahabau ialah Bahasa dalam loghat negeri Melaka yang biasa dipertuturkan di kalangan penduduk negeri itu.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau antara lain adalah kata makian bermaksud tidak berguna dan tidak boleh diharap.