BERITANAJIB RAZAKMerosotnya prestasi Khazanah Nasional selepas Datuk Sri Najib Razak tidak lagi menjadi...

Merosotnya prestasi Khazanah Nasional selepas Datuk Sri Najib Razak tidak lagi menjadi PM

Aset negara bukanlah suatu sumber yang boleh diurus secara sambil lewa

Lapan tahun selepas berakhirnya era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, nilai aset bersih Khazanah Nasional Berhad didapati masih belum pulih ke paras tertinggi yang pernah dicatatkan. Malah, prestasi dana kekayaan negara itu menunjukkan kemerosotan yang ketara berbanding trajektori pertumbuhan sebelumnya.

Sepanjang tempoh sembilan tahun di bawah pentadbiran Najib (2008–2017), nilai aset bersih Khazanah mencatat peningkatan memberangsangkan, daripada RM32 bilion kepada RM116 bilion. Ini mewakili pertambahan nilai sebanyak RM84 bilion, atau kenaikan 262.5 peratus dalam tempoh tersebut.

Sebaliknya, dalam tempoh lapan tahun selepasnya (2017–2025), nilai aset bersih Khazanah menyusut daripada RM116 bilion kepada RM105 bilion. Ini bermakna, bukan sahaja tiada pertumbuhan dicapai, malah berlaku penyusutan sebanyak RM11 bilion, bersamaan kemerosotan 9.5 peratus.

Lebih membimbangkan, jika trajektori pertumbuhan era pentadbiran sebelumnya dikekalkan, nilai aset bersih Khazanah pada tahun 2025 dianggarkan berpotensi mencecah RM364.4 bilion. Namun, angka sebenar yang direkodkan hanyalah RM105 bilion. Ini mewujudkan jurang perbezaan yang besar, iaitu sebanyak RM259.4 bilion.

Punca Pengecutan: Penjualan Aset Strategik Secara Besar-besaran

Persoalannya, mengapakah Khazanah mengecut dan gagal mengekalkan momentum pertumbuhan pesat seperti sebelumnya? Puncanya dapat dikenal pasti melalui perubahan strategi pelaburan yang dilaksanakan sejak tahun 2018, yang menyaksikan pelupusan pelbagai aset strategik secara besar-besaran.

Berpuluh-puluh bilion ringgit aset yang sebelum ini dibina dan dimiliki oleh Khazanah telah dijual. Namun, pulangan daripada aset baharu yang diperoleh sebagai ganti tidak menunjukkan hasil yang setanding. Antara aset berkualiti tinggi yang telah dilupuskan termasuk:

– IHH Healthcare Berhad
– Prince Court Hospital
– Projek DUO dan Hotel Andaz di Singapura
– Lebuh raya bertol di Indonesia
– Projek IPP di Arab Saudi
– Saham dalam Shopee, Alibaba, BDO Unibank Filipina, Infosys, Titan Industries, Time dotCom, PT Charoen Pokphand Indonesia, dan lain-lain lagi.

Selain itu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Khazanah merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat-syarikat utama tersenarai di Malaysia seperti CIMB Group Holdings, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad, dan Farm Fresh Berhad. Kini, selepas beberapa siri penjualan, Khazanah hanya kekal sebagai pemegang saham terbesar dalam CIMB. Kedudukannya dalam TNB dan Telekom Malaysia telah merosot ke tempat kedua atau ketiga, manakala dalam Farm Fresh, Khazanah bukan lagi merupakan pemegang saham signifikan.

Terkini, pada pagi ini, Bloomberg melaporkan wujud rancangan untuk menjual pegangan Khazanah dalam projek Marina One di Singapura pada harga S$5.7 bilion, bersamaan kira-kira RM17.8 bilion.

Aset Negara Perlu Diurus Secara Strategik dan Mampan

Situasi ini menimbulkan persoalan asas: jika aset-aset berkualiti yang memberikan pulangan lumayan setiap tahun terus dijual, bagaimana Khazanah mampu berkembang seperti dahulu? Strategi pelupusan tanpa penggantian aset yang mampu menjana pulangan jangka panjang yang setara akan menghakis keupayaan pertumbuhan dana negara.

Aset negara bukanlah suatu sumber yang boleh diurus secara sambil lewa. Seperti sebuah ladang produktif, pendapatan mampan tidak mungkin diraih jika buahnya terus dipetik dan pokoknya ditebang, tanpa usaha menanam semula atau memperkukuh asas sedia ada. Oleh itu, pengurusan Khazanah yang berpandangan jauh serta memiliki pelan penggantian aset yang jelas amat diperlukan bagi memastikan dana kekayaan negara ini kembali berkembang, demi kepentingan ekonomi generasi akan datang.

FOKUS

Zara Qairina

Berkaitan

[VIDEO] Peguam Dakwa Bekas CEO 1MDB Mengaku Kelirukan Mahkamah dan Reka Minit Mesyuarat Bersama Jho Low

Terkini:

MMK Negeri Sembilan sahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz

Mengenai kami