AIDCNews – Perisikan Filipina mendakwa sekutu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang yang menghasut kumpulan Kesultanan Sulu, kumpulan bersenjata dari selatan Filipina menceroboh Lahad Datu, Sabah dan berakhir dengan kematian apabila bertempur dengan pihak polis Malaysia hari ini.
Kumpulan bersenjata itu diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III didakwa terperdaya dengan janji sekutu Anwar yang menyokong pihak mereka dalam tuntutan ke atas Sabah.
“Pegawai perisikan berkata seorang ahli politik pembangkang yang menjadi sekutu Anwar Ibrahim telah bertanding untuk jawatan di Sabah.. Ahli politik itu adalah salah seorang yang bercakap dengan Kiram. Beliau kononnya mewakili pembangkang menyokong Kiram untuk menuntut Sabah,” lapor Philippine Daily Inquirer hari ini.
Sebelum ini, mymassa mendakwa Anwar telah mengutuskan wakilnya Tian Chua berjumpa dengan Nur Misuari, bekas pemimpin MNLF, kira-kira 4 bulan yang lepas.
Menurut blog itu, Nur Misuari, adalah bekas Gabenor Mindanao yang dipecat oleh Kerajaan Filipina kerana penyelewengan kuasa dan rasuah.
“Semasa Nur Misuari menjadi Gabenor Mindanao, dan Anwar menjadi TPM dan Menteri Kewangan, Anwar telah memberi wang belanja yang sangat banyak kepada Nur Misuari sehingga integriti Nur Misuari tercemar. Nur Misuari mula lupa daratan, bersosial, berglamour dan akhirnya dipecat oleh Kerajaan Filipina,”lapor Mymassa dalam artikel bertajuk “Rundingan Anwar-Nur Misuari terbongkar.”
Blog itu turut mendakwa kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjayakan Keamanan Bangsa Moro di Selatan Filipina tidak mengembirakan Anwar, lalu beliau berjumpa dengan rakan baiknya, Nur Misuari untuk merancang sesuatu.
Nur Misuari pula mempunyai dendamnya yang tersendiri terhadap MILF, badan Bangsa Moro yang kini paling berpengaruh pimpinan Murad Ibrahim.
Kemunculan MILF menyebabkan MNLF pimpinan Nur Misuari tidak lagi relevan.
Akhbar berpengaruh Filipina, The Philippine Star melaporkan Nur Misuari dan beberapa orang lagi pula berperanan sebagai ‘dalang’ telah mempengaruhi kesultanan Sulu untuk menuntut haknya di Sabah.
Akhbar tersebut memetik sumber pejabat Presiden Filipina yang mengatakan selain Nur Misuari, turut terlibat dengan komplot tersebut adalah bekas penasihat keselamatan, Noberto Gonzales; bekas wakil rakyat Tarlac, Jose Cojuangco dan calon senator, Margarita Cojuangco.
Akhirnya, pada 14 Febuari lalu sekumpulan individu asing mendakwa kerabat diraja Sultan Sulu bersenjata telah menceroboh Lahad Datu dan mengemukakan tuntutan mereka terhadap kerajaan Malaysia.