KUALA BESUT — Ketenangan suasana berkempen pada bulan Ramadan untuk pilihan raya kecil di sini terganggu juga dengan kritikan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Umno pada satu ceramah Rabu malam.
Kemunculan Mursyidul Am PAS Nik Aziz di Kampung Beris Pak Abu langsung tidak menyentuh calon atau wawasan PAS jika memenangi kerusi DUN Kuala Besut, sebaliknya masih mengutuk Umno, parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang kononnya menolak Islam.
“Selama 23 tahun ambo jadi menteri besar Kelantan, mereka (Umno) kata ambo tak bina masjid. Ya, Umno bina masjid tetapi mereka tidak sembahyang,” katanya disambut dengan deraian ketawa hadirin pada majlis itu.
Jelas sekali apa yang diucapkan pemimpin PAS itu bercanggah dengan adab berkempen ketika Ramadan yang seharusnya mengelakkan kata-kata fitnah, membangkitkan kebencian dan serangan.
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu calon BN yang diwakili Umno, dan calon PAS, menjadikan perebutan kerusi ini antara dua parti Melayu.
Beberapa ahli akademik sebelum ini berpandangan adalah penting bagi BN dan PAS mengamalkan ‘politik Ramadan’ bagi membuktikan kepada dunia bahawa dalam keghairahan berpolitik, Malaysia sebagai sebuah negara Islam, masih tetap menghormati bulan Ramadan serta mampu mengekalkan perpaduan rakyat.
Meneliti perkembangan kempen sejak 12 Julai lepas, isu-isu yang dibangkitkan hanya berkisar kepada mensejahterakan rakyat Terengganu dan memenangi kerusi untuk parti masing-masing.
Bagaimanapun ada juga beberapa penceramah PAS yang dilaporkan menyerang personaliti calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman di sebalik janji anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad pada Rabu, bahawa PAS tidak akan melakukan serangan peribadi terhadap pihak lawan.
Umpamanya yang melibatkan profesionalisme Tengku Zaihan sebagai bekas jurutera daerah Besut, yang kononnya telah mengakibatkan Empangan Lowvier di Pengkalan Nangka tidak berfungsi dan sawah kontang.
Ini jelas melanggari permintaan penduduk Kuala Besut yang mengharapkan kempen parti politik sempena PRK DUN ini diadakan secara sederhana bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan.
Berbeza dengan kempen BN dan Tengku Zaihan, yang selesa bertemu pengundi secara bersemuka, berbuka puasa, bersolat Tarawih dan moreh beramai-ramai tanpa penganjuran ceramah dan kehadiran pemimpin besar untuk dijadikan umpan meraih sokongan pengundi.
PAS mengekalkan pendekatan mengadakan ceramah umum yang diadakan selepas solat Tarawih dengan menampilkan pemimpin dari seluruh pelosok negara.
Bagi mempengaruhi pengundi, Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut PAS Datuk Husam Musa cuba bermain psikologi apabila menyatakan parti itu tidak akan membentuk kerajaan baharu di Terengganu sekali pun menang kerusi DUN Kuala Besut, yang akan menjadikan kedudukan 16-16 kerusi yang dipegang kedua-dua parti dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Ironinya, PAS yang mahu dilihat sebagai juara memperjuangkan rakyat di sini tidak sanggup berhadapan sendiri dengan Umno.
Contoh yang jelas Husam mencabar Umno berdebat mengenai isu berkaitan rakyat Terengganu, tetapi mencadangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berdepan dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, bukan beliau atau pemimpin PAS lain.
Lantaran itu, apakah kekuatan PAS untuk memperjuangkan nasib rakyat jika perlu bergantung kepada PKR untuk bercakap bagi pihaknya.