Tindakan seorang wanita membaling mercun bola untuk menghalau harimau akhirnya memakan diri apabila serpihan bahan letupan itu mencederakan mata kanannya dan menyebabkan bahagian hujung dua jari kirinya patah serta melecur di Teluk Bayu, Jeli, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, Fakariah A’alrinah Jusoh, 41, yang hampir selesai menoreh mendengar ngauman harimau sebanyak dua kali di kebun getahnya.
Fakariah berkata, dia kemudiannya berlari ke pondok di kebun tersebut dan mengambil mercun yang disimpan untuk menghalau haiwan liar.
“Sekembalinya ke kebun yang terletak 50 meter dari pondok, saya segera menyalakan mercun tetapi mengalami kesukaran untuk membaling ke udara kerana keadaan tangan yang masih bergetah.
“Walaupun sempat membaling mercun itu, ia meletup tidak jauh daripada tangan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.