Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, hari ini mengesahkan sudah mendaftarkan satu pasukan dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Dunia, musim depan dikenali SIC Racing Team dengan Muhammad Zulfahmi Khairuddin selaku pelumba utama.
Pasukan yang dibina dengan harapan mampu meningkatkan tahap dan mutu sukan permotoran di Malaysia boleh dianggap pasukan pertama dari negara ini dengan Zulfahmi yang bergelut musim ini terus diberikan kepercayaan.
Begitupun, pelumba kedua yang akan bergandingan dengan Zulfahmi yang sudah lima musim beraksi semusim penuh di Kejuaraan Dunia belum didedahkan.
Masa depan Zulfahmi, 23 menjadi tidak menentu selepas gagal menyesuaikan diri bersama pasukan Ongetta Air-Asia dengan pasukan yang menggunakan jentera Honda itu sudah pun mengumumkan penunggang baru untuk musim depan.
“Kami memutuskan untuk mendapatkan khidmat Zulfahmi sebagai pelumba utama kami kerana dia masih relevan kepada sukan permotoran di Malaysia dan Kejuaraan Dunia,” kata Razlan.
“Kami juga percaya dengan betapa pentingnya memulakan usaha baru ini dengan cara yang baik bersama dengan pelumba berpengalaman,” katanya yang menyifatkan penubuhan pasukan SIC Racing Team akan menyumbang kepada pembangunan negara dalam sukan permotoran.
Bagi Razlan, penubuhan SIC Racing Team dianggap bersejarah kerana menjadi pasukan pertama negara yang ditubuhkan bagi saingan di Kejuaraan Dunia.
Sekalipun baru, pihaknya turut menetapkan sasaran tinggi untuk memecah kelompok 10 terbaik dalam kejuaraan tahun depan dan jika mampu, lima terbaik.
Selain SIC, antara rakan niaga lain dalam penubuhan pasukan ini yang dijangka akan memakan belanja jutaan ringgit ialah Mutiara Motors, Tourism Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Zulfahmi sebelum ini pernah mencipta kejayaan membanggakan apabila menaiki podium di GP Malaysia pada 2012 sebelum prestasinya merudum pada 2013 dan berhijrah ke Honda, musim ini.
Pasukan SIC Racing Team dijangka akan menggunakan jentera KTM.