> Vladimir Putin berkata perjanjian damai antara negaranya dengan Ukraine berjaya dicapai
> Penentang sokongan Rusia akan undur semua kelengkapan senjata mulai Ahad ini
> Gencatan senjata juga akan bermula Ahad
> Presiden Rusia dan Ukraine bertemu di Minsk, Belarus untuk rundingan damai
> Rundingan damai yang telah berlangsung beberapa hari itu pada mulanya seakan-akan gagal
MINSK: Rundingan maraton untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine akhirnya berjaya dicapai dengan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Pertempuran antara Ukraine dan pejuang-pejuang pemisah pro-Rusia telah mengorbankan 5,300 nyawa termasuklah pesawat MH17 milik Syarikat Penerbangan Malaysia yang menjadi mangsa tembakan peluru berpandu pada 17 Julai tahun lalu ketika sedang melintasi ruang udara Timur Ukraine berhampiran Donest.
Kesemua 283 penumpang pesawat Boeing 777-200ER itu dan 15 anak kapal terbunuh dalam insiden yang mendapat kecaman dari seluruh dunia.
Presiden Rusia, Vladimir Putin muncul dari rundingan damai itu bersama-sama rakan sejawatannya dari Ukraine, Petro Poroshenko diringi Presiden Perancis, Francois Hollande dan Cancelor Jerman, Angela Merkel yang bertindak sebagai pendamai mewakili Kesatuan Eropah.
Putin berkata, langkah pertama ke arah perdamaian ialah dengan mengumumkan gencatan senjata oleh kedua-dua belah pihak yang bertelagah.
Gencatan senjata itu akan berkuatkuasa Ahad ini dan semua senjata berat akan ditarik balik dari garisan konflik di Timur Ukraine pada hari yang sama.
Presiden Hollande pula dipetik sebagai berkata yang kedua-dua belah pihak yang bertelagah telah bersetuju ke atas satu penyelesaian politik yang komprehensif.
Poroshenko pula berkata yang puak pemisah yang disokong secara senyap oleh Rusia telah menandatangani perjanjian damai sementara.
Pertemuan di ibu negara Belarusia itu itu dilihat sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan Ukraine daripada kebankrapan akibat konflik berpanjangan yang telah berlanjutan sejak 10 bulan yang lalu.
Pada mulanya, rundingan ini seakan-akan gagal ekoran pertempuran yang masih berlaku di Timur Ukraine dalam tempoh 24 jam yang lalu menyaksikan 10 lagi orang awam terkorban dan dua askar Ukraine turut terbunuh.
Sebaik sahaja berita mengenai persetujuan damai ini dicapai, Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde mengumumkan yang pelan menyelamat berjumlah AS$17.5 bilion akan disalurkan kepada Ukraine dengan segera.
Secara total, Ukraine akan menerima bantuan dana sebanyak AS$40 bilion dalam tempoh empat tahun dengan beberapa bantuan pinjaman lagi dari pelbagai sumber lain, kata Lagarde.
Sebelum itu, ketika perbincangan masih diteruskan, AFP memetik Poroshenko yang muncul keluar dari bilik persidangan sebagai berkata yang Rusia telah meletakkan syarat-syarat yang tidak dapat diterima.
Agensi berita AFP difahamkan yang salah satu isu besar yang tidak dapat dirungkai ialah siapakah yang akan berkuasa di wilayah seluas 400 kilometer yang bersempadana dengan wilayah Rusia di Timur Ukraine nanti.
Wilayah tersebut buat masa ini dikuasai oleh puak pemisah Ukraine berketurunan etnik Rusia.
Juga terdapat pertikaian seluas manakah kawasan yang bakal dikawal oleh puak pemisah ini nanti.
Moscow menuntut supaya kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemisah ini diberikan hak autonomi yang luas.
Sebelum rundingan ini bermula, Poroshenko telah meletakkan syarat yang kerajaannya tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan undang-undang darurat di seluruh negara jika mereka gagal menghentikan pertempuran.
Ini akan membuka ruang kepada pelaksanaan undang-undang tentera dan penggunakan sumber ketenteraan yang maksimum untuk melancarkan perang di Timur Ukraine tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan risiko kebankrapan dan kehilangan pelaburan luar.
Media massa melaporkan yang rundingan tersebut berlangsung dalam suasana yang amat tegang dengan Poroshenko tidak langsung melemparkan senyuman.
Malah Presiden Hollande dan Merkel juga kelihatan sangat tegang sepanjang rundingan itu berlangsung.
Sebelum rundingan puncak berlangsung keempat-empat pemimpin itu mengadakan pertemuan secara berasingan dari rombongan delegasi negara masing-masing.
Mereka kemudiannya disertai oleh menteri luar masing-masing.
Sebelum rundingan ini berlangsung, Amerika telah pun memberi indikasi yang mereka bersedia menyalurkan bantuan senjata kepada Ukraine seandainya kedua-dua belah pihak gagal dalam rundingan.
Sekiranya ini berlaku, bermakna perang di Ukraine akan menyaksikan ‘perang proksi’ di antara sekutu Amerika dengan sekutu Rusia.
Ramai diplomat melihat inilah antara sebab mengapa Putin bersedia mengadakan rundingan di sini untuk menamatkan spekulasi yang boleh menjurus kepada perang proksi.
Perincian mengenai perjanjian damai ini sehingga berita ini ditulis masih belum didedahkan.