Satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mempertikai penghakiman panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan kes liwat bapanya 10 Februari lalu dalam Sidang Dewan Rakyat 10 Mac lalu.
Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, kenyataan Nurul Izzah itu bukan sahaja menghina dan mencerca hakim malah kenyataan yang bersifat ‘highly contemptuous’.
Selain itu, kenyataan Nurul Izzah itu juga berbaur hasutan kerana boleh menyebabkan rakyat mempertikaikan kredibiliti serta memandang hina hakim mahkamah terbabit.
Antara tuduhan Nurul Izzah sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ialah hakim dituduh tunduk dan akur kepada tuan-tuan politik, menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman, menjual diri kepada syaitan, memperdagangkan nurani demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan.
“Saya percaya kenyataan Nurul Izzah itu tidak dilindungi oleh kekebalan Ahli Parlimen seperti diperuntukkan mengikut Perkara 63 Fasa (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru saya memohon polis menjalankan siasatan terhadap Nurul Izzah kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara, Khamis.