Terdapat dua hingga tiga gegaran susulan dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Taman-Taman Sabah dan Kundasang di sini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Abdul Malik Tussin yang memberitahu, gegaran tersebut berlaku kurang daripada 3 pada skala Richter.
Walau bagaimanapun menurut beliau, pihaknya masih tidak mempunyai data terperinci gegaran susulan itu dan berdasarkan penduduk sekitar, gegaran ketiga berlaku kira-kira pukul 11 pagi.
“Buat masa sekarang saya masih belum memperoleh data kedudukan dan masa sebenar gegaran susulan itu.
“Selepas gegaran pertama 5.9 pada skala Richter, pasti akan ada gegaran susulan kecil dalam lingkungan 3 pada skala Richter,” katanya ketika dihubungi.