Pontian: Ikan paus dianggar sepanjang 9.14 meter ditemui tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, kehadiran ikan paus berkenaan disedari orang awam yang berkunjung ke taman rekreasi berhampiran.
Bagaimanapun, hidupan laut itu disangka sudah mati sebelum orang awam menghubungi bomba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Azizi Yaacob berkata, pihaknya dengan kekuatan lima anggota dan satu jentera ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.38 tengah hari.
“Setibanya di lokasi 17 minit kemudian, memang benar terdapat seekor ikan paus berada di atas permukaan air dan kita membuat pemantauan terlebih dahulu kira-kira 20 minit.
“Kita mendapati ikan paus itu masih hidup dan ketika itu air sedang surut dan ia dilihat tersangkut pada lumpur,” katanya.
Beliau berkata, melihat keadaan semakin kritikal, bomba kemudian meminta bantuan satu bot nelayan yang berada di kawasan sekitar dan dua anggota bomba bersama beberapa orang awam membantu mengikat tali pada bot dan ekor ikan paus.
Katanya, selepas itu, bot berkenaan bergerak perlahan-lahan dan membawa ikan paus terbabit ke tengah laut.
“Kita mendapati ikan paus itu mengalami sedikit kecederaan di bahagian badannya, namun dia dilihat kembali berenang selepas ikatan dilepaskan ketika di tengah laut,” katanya.
Azizi berkata, pihaknya kemudian menamatkan operasi pada 3.05 petang selepas ikan paus terbabit berjaya diselamatkan.
–