MINA: Ratusan ribu jemaah mula menuju ke Arafah awal pagi ini dengan lebih daripada 200,000 khemah didirikan untuk kemudahan penginapan mereka dari subuh hingga ke senja.
Dari Arafah, tetamu Allah ini akan ke Muzdalifah untuk melakukan solat Maghrib dan Isyak sebelum berehat pada waktu malam.
Di Muzdalifah, jemaah akan mengumpul batu-batu kecil untuk melontar di Mina dan kembali semula awal keesokan harinya untuk melengkapkan ibadat haji mereka termasuk menyembelih korban, bercukur rambut, keluar dari ihram dan pergi ke Makkah untuk Tawaf, rukun penting dalam ibadat haji.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mejar General Masour Al-Turki, berkata terdapat 11 rancangan untuk menyusun pergerakan pejalan kaki dan menguruskan orang ramai semasa pendakian ke Arafah, kira-kira 9 kilometer dari Makkah.
Bercakap pada sidang akhbar di Mina Jumaat lalu, Al-Turki berkata kira-kira 25 peratus daripada jemaah haji akan pergi ke Arafah terus dari tempat penginapan mereka di Makkah.
Pengarah kesedaran dan media untuk Keselamatan Awam, Kolonel Sami Al-Shuwairikh, berkata 237,583 jemaah tanpa dokumen, termasuk lebih daripada 9,700 lelaki dan wanita Arab, diarah berpatah balik dan dihalang dari memasuki Makkah atau Tanah Suci.
Katanya, 104,784 kenderaan, yang membawa jemaah tanpa permit haji juga ditolak.
Bulan Sabit Merah Berkuasa Saudi menyediakan 377 ambulans dan 11 pesawat untuk menyediakan perkhidmatan menyelamat pantas ketika kecemasan. Jurucakap pihak berkuasa berkata maksimum masa tindak balas panggilan kecemasan kini adalah tujuh minit.
Jurucakap Pertahanan Awam, Kolonel Abdullah Al-Orabi berkata 24 tong gas memasak turut dirampas di khemah-khemah jemaah haji di Mina. Menurut peraturan keselamatan Pertahanan Awam, gas memasak cecair tidak boleh digunakan di dalam khemah di Mina dan Arafah.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Mishaal Al-Rubaian berkata, setakat ini tiada kes Sindrom Pernafasan Timur Tengah virus Korona (MERS-CoV) dilaporkan dalam kalangan jemaah. Sebagai persediaan, 230 bilik hospital disediakan untuk digunakan sebagai kemudahan kuarantin.
Sementara itu, 27 ambulans yang lengkap tiba di Arafah pada petang Jumaat lalu membawa jemaah haji uzur yang ditahan ke hospital di Madinah.
Mereka disambut dengan bunga mawar, bunga-bungaan dan air Zamzam oleh beberapa pegawai kesihatan.