BAYI perempuan berusia lima hari maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 49 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Jabatan Pertanian Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.
Dalam kejadian 9.40 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu manakala bapa, 33, dan ibu, 35, cedera akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Bezza dinaiki tiga beranak itu dari arah Batang Kali menghala ke Klinik Ibu dan Anak, Rasa merempuh bahagian hadapan Proton Saga.
“Difahamkan Proton Saga itu dari arah bertentangan secara tiba-tiba membuat pusingan U di lokasi.
“Akibat pelanggaran itu Perodua Bezza terbabas melanggar penghadang besi jalan di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bak Phai berkata, Perodua Myvi dari arah belakang Perodua Bezza tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Proton Saga.
“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang Perodua Bezza cedera manakala bayi mereka berusia lima hari meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu.
“Pemandu Proton Saga dan Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.