Banjir: Ban pecah di RTB Bukit Changgang, air mula melimpah #pakdin.my

KUALA LANGAT – Ban berdekatan rumah pam Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang, di sini, dilaporkan pecah, pagi ini.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.10 pagi, mengakibatkan air Sungai Langat mula memasuki kawasan tali air berdekatan kampung tersebut.

Menurut penduduk, Janaidi Janot, 40 tahun, kejadian disedari penduduk selepas membuat tinjauan di kawasan berkenaan.

“Keadaan ini akan menyebabkan air memenuhi kawasan ladang kelapa sawit terlebih dahulu dan kemudian kawasan penempatan.

“Keadaan ini berkemungkinan besar menyebabkan terjadi gelombang kedua di Kampung RTB ini. Saya mewakili penduduk kampung memohon kepada JPS untuk melihat perkara ini (keadaan ban).

“Banjir berlaku sebelum ini disebabkan struktur ban yang rendah. Jadi, perkara yang sama ini berulang kali berlaku,” katanya kepada Astro Awani di sini, pada Isnin.

Katanya lagi, JPS sebelum ini banyak memfokuskan kepada masalah sistem pemparitan berbanding keadaan ban yang didakwa kerap pecah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia KLIA, Timbalan Penguasa Bomba II, Khairuddin Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar 10.11 pagi.

Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kepada ketua kampung untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Selain itu, tambahnya, arahan kepada JPS untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian semakin buruk, telah dikeluarkan.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Selangor sehingga Rabu ini, termasuk di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Berkaitan