Banjir: BWI diperlukan kerana penduduk mahu baik pulih, bersihkan rumah secepat mungkin #pakdin.my

HULU LANGAT, 28 Dis  — Ketika ini, kebanyakan penduduk Taman Sri Nanding di Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir mengutamakan langkah membaik pulih dan membersihkan kediaman mereka secepat mungkin.

Dalam situasi sedemikian, mereka benar-benar memerlukan beberapa bantuan pasca banjir seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumumkan oleh kerajaan.

Seorang penduduk, Shahrul Ridzuan, 38, berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya kerana rumah beliau rosak teruk selepas banjir melanda kawasan perumahan tersebut minggu lepas dan orang lain juga mengalami nasib serupa.

“Saya tahu tentang bantuan BWI meskipun saya belum memohonnya kerana tidak ada masa untuk menguruskan hal lain sejak banjir berlaku.

“Buat masa ini, kami hanya bersyukur kerana terselamat dalam bencana ini walaupun kami belum menyelaras apa yang sepatutnya kami lakukan kerana semuanya terjadi dalam sekelip mata,” kata beliau yang bekerja sendiri kepada Bernama di rumahnya di sini.

Seorang lagi penduduk Taman Sri Nanding, Hamzah Hamad, 65, pula berkata beliau telah menyerahkan permohonan bagi mendapatkan BWI semalam.

“Kami bernasib baik kerana beberapa barangan kami termasuk kenderaan masih boleh digunakan namun perkara sama tidak boleh dikatakan bagi pihak kebanyakan penduduk di sini. Kami sudah membersihkan rumah selama dua hari tetapi tempoh itu belum mencukupi untuk kami mengenal pasti barangan yang terpaksa dibuang dan yang masih boleh digunakan. Justeru, kami amat menghargai BWI,” katanya.

Bernama melaporkan bahawa penyaluran BWI sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana alam itu akan dilaksana melalui serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara dalam talian.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM34 juta untuk diagih sebagai BWI kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir setakat semalam.

Beliau berkata bantuan itu sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU-JPM,” katanya.

— BERNAMA

Berkaitan