Banjir: Jururawat dan anak sanggup jalan kaki 8 jam untuk kembali ke rumah #pakdin.my

Seorang jururawat bersama anak perempuan sanggup berjalan kaki selama lapan jam dari sebuah stesen minyak di Shah Alam ke rumah mereka Bandar Putera Klang kerana kereta dinaiki rosak setelah cuba meredah banjir untuk pulang ke rumah.

Hayati Halim, 44, pulang dari kampung halaman di Bagan Serai, Perak selepas mendapat tahu daripada jirannya bahawa rumahnya telah dinaiki air hingga ke paras dada.

“Saya nak tengok dahulu apa keadaan di rumah dan sedang menunggu bot untuk memasuki kawasan rumah kerana paras air tinggi, nak tengok apa yang boleh saya selamatkan,” katanya yang ditemui.

Beliau yang tinggal di Taman Kamelia, Bandar Putera Klang, ditemani anak perempuan berumur 16 manakala suami dan seorang lagi anak menguruskan kereta mereka.

Sementara itu, seramai 280 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kemuning Utama, dekat sini terpaksa ‘bergelap’ apabila bekalan elektrik di kawasan itu terputus sejak 11 malam tadi.

Mangsa merupakan penduduk di sekitar Taman Bukit Kemuning dan Taman Seri Muda yang telah berpindah ke PPS tersebut sejak 6 pagi Sabtu.

Seorang penduduk Mohamad Albrahim Chong Shafie, 41, berkata ini merupakan kali pertama dewan itu digunakan sebagai PPS dan juga pengalaman pertamanya menjadi mangsa banjir.

“Sebelum ini air pernah naik pada paras betis di kawasan taman saya, namun banjir kali ini ada rumah di kawasan saya naik sehingga ke paras dada,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hanya sebahagian mangsa banjir di PPS itu mendapat khemah mudah alih untuk keselesaan manakala sebahagian lain masih menunggu bantuan itu sampai.

Seorang lagi mangsa, Amiruddin Savai, 63, berkata beliau bersama lapan ahli keluarganya menghadapi detik cemas apabila air naik dengan begitu pantas dan tidak pernah dialaminya sejak 23 tahun menetap di situ.

“Pak cik sekeluarga tidak boleh tidur kerana air naik begitu pantas dan bermula dari waktu solat Maghrib (semalam), air terus naik sampai ke paras dada,” katanya yang turut membawa kucing peliharaan anak perempuannya ke PPS berkenaan.

Terdahulu ketika tinjauan Bernama ke PPS berkenaan, mendapati kawasan di sekitar PPS tersebut turut bergelap kerana ketiadaan elektrik selain terdapat banyak pokok tumbang merentasi jalan raya ekoran angin kencang.

Semasa menuju ke PPS berkenaan, sebuah peti  bekal kuasa Tenaga Nasional Berhad di tepi jalan terbakar sehingga mengeluarkan kepulan asap tebal.

Beberapa laluan yang dinaiki air hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat.

Berkaitan