Malaysia Perlu Timbang Teknologi Kereta Api Yang Terbukti Kejayaannya (video) - pakdin.my

keretapi-laju

Pembinaan projek Keretapi Kelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dijangka bermula pada tahun 2016 dan siap dalam tempoh sembilan tahun.

Projek yang dianggar bernilai RM40 bilion itu menarik minat ramai pengusaha perkhidmatan HSR antarabangsa.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek projek itu yang perlu diteliti.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar membuat pengakuan tersebut ketika menjelaskan penjadualan semula projek yang pada mulanya dijangka siap 2020.

“Ini bukan melibatkan soal pembinaan semata-mata. Kedua-dua kerajaan perlu mengkaji banyak perkara”, beliau dipetik sebagai berkata kepada media.

KERETA API SHINKANSEN JEPUN

Satu daripada sistem HSR yang boleh dipertimbangkan ialah teknologi Shinkansen (kereta api peluru) Jepun.

Teknologi ini juga diguna pakai di Taiwan, melibatkan perkhidmatan HSR untuk perjalanan dari Taipei ke Kaohsiung yang memakan masa selama kira-kira 96 minit.

Perjalanan sejauh 345km itu hampir sama jaraknya dari Kuala Lumpur ke Singapura dan sesuai untuk dijadikan panduan dalam perancangan projek HSR Malaysia-Singapura.

Sebagai perintis teknologi HSR, Jepun melancarkan perkhidmatan HSR pertama di dunia pada 1 Okt, 1964.

Tahun ini, genap 50 tahun perkhidmatan Shinkansen dilancarkan di negara matahari terbit itu dengan rekod cemerlang yakni sifar kecederaan atau kemalangan maut antara penumpang dan purata kelewatan kurang seminit.

Shinkansen Taiwan, yang mula beroperasi pada 2007, turut berbangga dengan rekod yang sama sepanjang perkhidmatannya setakat ini.

SKIM SOKONGAN JEPUN

Jepun mencadangkan Malaysia mengguna pakai sistem Shinkansen semasa pertemuan Perdana Menterinya, Shinzo Abe, dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Tokyo, awal tahun ini.

Manakala Pengarah Biro Keretapi Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Tomohiro Kobayashi turut mengulangi cadangan itu di samping menawarkan bantuan pakar dan kewangan.

“Jika kerajaan Malaysia memerlukan bantuan dalam kos operasi, kami boleh menawarkan Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA). Kerajaan kami juga boleh menyuntik dana berbentuk pelaburan kepada perbadanan swasta yang terlibat dalam projek itu”, katanya kepada media Malaysia dan Singapura pada satu pertemuan di kementerian itu, bulan lepas.

Apabila ditanya lanjut mengenai jumlah bantuan, Kobayashi berkata pihaknya sukar untuk memberi maklumat terperinci sebelum kerajaan Malaysia memulakan perbincangan lanjut.

Selain bantuan kewangan, Jepun turut menawarkan khidmat latihan, bantuan operasi dan penyelenggaraan seperti yang diberi kepada Taiwan.

CABARAN DALAM PEMBINAAN

keretapi-laji-1

Malaysia mengenalpasti tujuh perhentian bagi perkhidmatan HSRnya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.

“Kami mengadakan perbincangan dengan unit perancang ekonomi negeri yang terlibat dan telah mendapat maklum balas. Kami akan membuat pindaan mengikut kewajaran”, Syed Hamid memberitahu pemberita bulan lepas.

Bagaimanapun, dalam satu wawancara baru-baru ini, Pengerusi SPAD itu dilaporkan sebagai berkata, Malaysia akan cuba menggunakan tanah milik kerajaan sebanyak mungkin bagi mengelakkan pertikaian dalam pemerolehan hartanah milik persendirian.

Di samping itu, terdapat beberapa cabaran kejuruteraan yang perlu dipertimbangkan, antaranya mengelakkan kawasan kampung, tanah persendirian atau kawasan bandar yang terlebih pembangunan serta tanah mendap.

Semuanya itu memerlukan struktur kukuh yang mahal seperti pembinaan platform bertingkat dan terowong bawah tanah.

Ia juga memerlukan perancangan terperinci yang mana pertukaran pembekal pada saat-saat akhir boleh menyebabkan kos melambung di samping melibatkan tuntutan mahkamah.

Contohnya, penggerudian terowong hanya akan dilakukan setelah pemilihan muktamad sistem yang akan diguna pakai.

Shinkansen Jepun mengguna diameter terowong yang hanya besar sedikit daripada kereta apinya. Ini untuk mengurangkan bunyi dan gegaran serta meningkatkan kecekapan operasi.

Sistem TGV Eropah pula memerlukan diameter terowong lebih besar yang memenuhi peraturan keselamatan Eropah.

Prinsip “penghindaran pelanggaran” Shinkansen Jepun dengan membina landasan HSR khas tanpa lintasan kereta api patut juga dicontohi.

Landasan ini juga jangan dikongsi dengan kereta api penumpang lain, apatah lagi dengan kereta api kargo yang membawa beban gandar tinggi, kerana ia boleh menyebabkan landasan mudah haus dan lusuh.

PULANGAN PELABURAN

Seperti kebanyakan perkhidmatan HSR serata dunia, jualan tiket semata-nata tidak mungkin mencerminkan pulangan pelaburan.

Bagaimanapun, bandar kecil di sepanjang laluan HSR dijangka dapat menikmati banyak manfaat ekonomi selain daripada pertambahan penduduk hasil daripada prospek peluang pekerjaan.

Di Jepun, pelancaran Fasa 1 Stesen Shinkansen Kagoshima-chuo pada tahun 2004 menyumbang AS$166 juta (RM531 juta) kepada ekonomi tempatan. Jumlah itu meningkat kepada AS$464 juta (RM1.48 bilion) selepas pembukaan Fasa 2 pada 2011.

Dalam tempoh yang sama, jumlah pelancong ke Wilayah Kagoshima juga bertambah 1.1 juta dan nilai hartanah berdekatan laluan HSR juga meningkat.

Kemudahan pengangkutan itu juga menyumbang kepada pengurangan kadar migrasi dari luar bandar ke bandar besar yang mana membantu memajukan kawasan luar bandar. Sekaligus, ini mengurangkan masalah bandar besar seperti terlebih penduduk, pengangguran dan miskin bandar.

SPAD menganggarkan seramai 49,000 penumpang akan mengguna HSR Malaysia-Singapura setiap hari menjelang sedekad operasinya dengan jumlah penumpang tahunan seramai 17.9 juta.

Teknologi HSR Tarik Minat Global

 

 

Menggunakan teknologi rel berkelajuan tinggi atau HSR, Shinkansen menarik perhatian dunia sebagai mod pengangkutan mesra alam dan efisyen.

Pengalaman Jepun boleh diaplikasikan dalam pembangunan projek HSR di Malaysia, antaranya projek lingkaran Kuala Lumpur ke Singapura yang sedang dalam perancangan.


SISIPAN

BAGAIMANA PEMBIAYAANNYA?

Memandangkan kos projek HSR amat tinggi, bagaimana kerajaan akan menguruskan pembiayaan projek ini?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Februari berkata ia akan dilaksanakan “atas dasar perkongsian swasta-awam dan sektor swasta akan menguruskan projek itu”.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada konsortium swasta akan menguruskan projek ini dan kerajaan hanya melibatkan diri jika ia bermasalah, seperti nasib yang menimpa Keretapi Berkelajuan Tinggi Taiwan (THSR).

Menjejak kembali pengalaman Taiwan dalam hal ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Taiwan mengguna pakai teknologi Shinkansen (kereta api peluru) Jepun dengan projek HSR dikendalikan oleh syarikat swasta Taiwan High Speed Rail Corporation (THSRC), yang turut mengendali laluan 345km Taipei-Kaohsiung.

Kerajaan Taiwan membuat keputusan untuk mengguna francais Bina-Kendali-Pindah (BOT). THSRC telah memenangi bida itu setelah menawarkan bida terendah di samping berjanji tidak menggunakan langsung dana awam.

Malang sekali, setahun kemudian THSRC terpaksa mungkir janji apabila berlaku Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1998.

THSRC, yang mengalami masalah mendapatkan dana terpaksa meminjam secara senyap daripada beberapa syarikat awam. Ia terpaksa menanggung pinjaman bank dengan kadar faedah yang tinggi serta susut nilai yang tinggi.

Sepuluh tahun kemudian, ketika perkhidmatan itu beroperasi, konsortium ditimpa pula krisis ekonomi dunia.

Pertukaran pembekal pada saat-saat akhir setelah terowong digerudi (yang dikhabarkan atas sebab-sebab politik) juga menyumbang kepada limpahan kos di samping kes tuntutan berpanjangan di mahkamah.

Kerajaan Taiwan terpaksa menyalurkan bantuan kepada THSRC pada tahun 2009 yang melibatkan dana awam yang tinggi.

Keadaan bagaimanapun kemudian semakin bertambah baik dengan keuntungan jualan tiket yang meningkat dan THSR mula mencatatkan pendapatan operasi positif.

Sementara itu, Syed Hamid ketika ditemui di Jepun bulan lepas, berkata tender bagi projek itu hanya akan dibuka kepada pemain industri yang jumlahnya tidak ramai.

“Ia tidak akan diberi kepada sebarangan kontraktor kelas-A”, katanya kepada media pada persidangan HSR sempena ulang tahun ke-50 Shinkansen Jepun di Tokyo.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan penglibatan kontraktor tempatan.

“Ini kerana limpahan ekonomi dari projek ini banyak, termasuk peluang pekerjaan”, katanya.

UTAMAGAYA HIDUPMalaysia Perlu Timbang Teknologi Kereta Api Yang Terbukti Kejayaannya (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium