28.4 C
Kuala Lumpur
Friday, February 26, 2021

Nelayan darat dapat duit raya RM1,200

Nelayan darat dapat duit raya

Seramai 2,425 nelayan darat di seluruh negara menerima duit raya menerusi pembayaran tunggakan elaun sara hidup seba­nyak RM1,200 setiap seorang yang disampaikan kepada mereka mulai hari ini.

Bayaran itu adalah selaras de­ngan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 bahawa nelayan darat sepenuh masa buat julung kalinya akan diberi elaun RM200 sebulan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM12.5 juta bagi tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, elaun sara hidup sebanyak RM1,200 seorang itu merupakan bayaran tunggakan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, majlis penyampaian elaun berkenaan akan dijalankan di setiap negeri selepas pelancarannya hari ini yang disempurnakan oleh pemimpin tempatan.

“Saya berharap elaun ini dapat diagihkan kepada semua nelayan darat yang dikenal pasti sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi memboleh­kan mereka membuat persediaan menyambutnya,” katanya pada maj­lis penyampaian elaun sara hidup nelayan darat dan bantuan bencana banjir penternak akuakultur di sini.

Pada majlis itu, seramai 699 nelayan darat di negeri ini menerima bayaran elaun sara hidup tersebut melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM800,000.

Menurut Ismail Sabri, mungkin terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan mengapa hanya nelayan dibantu menerusi elaun sara hidup.

Kata beliau, bantuan berkenaan merupakan satu daripada inisiatif kerajaan bagi meringankan beban nelayan yang berdepan pelbagai cabaran termasuk tidak boleh menangkap ikan pada waktu tertentu sehingga menjejaskan mata penca­rian mereka.

“Umpamanya nelayan di Sungai Pahang yang mengalami kesukaran berikutan air sungai semakin cetek menyebabkan mereka tidak dapat mencari rezeki seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberi­tahu, kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM8.3 juta kepada seramai 1,655 penternak akuakultur yang mengalami kerugian akibat musibah banjir hujung tahun lalu bagi membolehkan mereka menjalankan semula perusahaan ma­sing-masing secepat mungkin.

Kata beliau, banjir tersebut meng­akibatkan penternak akuakultur terutama di negeri-negeri Pantai Timur menanggung kerugian dianggarkan sebanyak RM43 juta yang mana 907 orang daripadanya adalah penternak ikan di sepanjang Sungai Pahang.

“Jumlah maksimum diberikan kepada penternak terlibat sebanyak RM5,000 berdasarkan jenis sistem, bantuan makanan ikan, benih ikan dan penggantian sistem ternakan yang rosak,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.