Penduduk Selangor merana krisis air tiada noktah - pakdin.my

Penduduk Lembah Klang akan terus berdepan krisis bekalan air termasuk terputus bekalan akibat kerosakan infrastruktur seperti paip pecah atau Loji Rawatan Air (LRA) tidak dapat membekalkan kapasiti air mencukupi.

Ini akan terus berlaku selagi kerajaan negeri tidak menyelesaikan segera perjanjian penstrukturan semula industri penting itu yang masih tertangguh.

Kegagalan dan kedegilan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melengkapkan baki perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, malah turut menjejaskan pembangunan baharu serta kemampanan bekalan air di negeri itu dalam jangka masa panjang.

Margin simpanan air rendah

Ketika ini, margin simpanan bekalan air terawat di Selangor begitu rendah iaitu sekitar empat peratus berbanding margin simpanan yang baik antara 15 hingga 20 peratus.

Ini menyebabkan kes gangguan bekalan sering berlaku hingga memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Sumber berkata, risiko margin simpanan bekalan air yang rendah menyebabkan lebih luas kawasan akan terjejas jika bekalan terputus berbanding dengan margin simpanan yang besar iaitu sekurang-kurangnya 15 peratus, ia tidak memberi kesan kepada penduduk.

“Masalah paip pecah memang biasa, tetapi kalau margin besar, ia tidak menyusahkan tetapi mengapa di Selangor, jika berlaku sahaja paip pecah, terus tidak ada air, sebabnya kerana margin simpanan tiada atau terlalu kecil,” katanya.

Berdasarkan laporan Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2017, kapasiti pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negara pada 2016 menunjukkan Pulau Pinang mempunyai kadar margin simpanan bekalan air terawat paling besar iaitu 34.1 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (29.2 peratus), Perak (28.7), Terengganu (27.2), Negeri Sembilan (22.1), Pahang (21.4), Sarawak (20.7), Melaka (20.1) dan Johor (16.4) manakala purata margin simpanan bekalan air negara pula 13.2 peratus.

Pembangunan negeri terjejas

Selain itu, kesan paling ketara jika gangguan bekalan air terus berlaku adalah pembangunan negeri akan terjejas.

Sebagai contoh, sepanjang 2016 hingga Januari 2018, sebanyak 761 permohonan pembangunan hartanah baharu di Selangor terpaksa ditangguhkan apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak dapat memberikan jaminan bekalan air yang mencukupi.

Menurut sumber, walaupun Kerajaan Persekutuan menyalurkan pelaburan begitu besar untuk proses penstrukturan industri air di Selangor, tindakan kerajaan negeri melewat-lewatkan untuk melengkapkan perjanjian, pelbagai inisiatif menaik taraf infrastruktur secara berterusan seperti penukaran paip dan tangki air tidak dapat dilaksanakan.

Untuk rekod, pelaburan disalurkan Kerajaan Persekutuan bernilai lebih RM14 bilion kepada kerajaan Selangor bertujuan membantu kerajaan negeri melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AIS) iaitu syarikat 100 peratus milik kerajaan negeri mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air dan pinjaman kerajaan negeri, namun tidak dimanfaatkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara projek paling terkesan ialah LRA Langat 2 bernilai RM3.7 bilion sepatutnya siap pada 2017 tetapi perubahan dasar kerajaan negeri sejak 2008 menyebabkan projek itu hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Fasa A, LRA Langat 2 sudah siap sejak 2 Februari lalu dan kini dalam proses ujian dan pentauliahan dengan bekalan air sebanyak 565 juta liter sehari (MLD) mula disalurkan ke LRA berkenaan dari Pahang.

“Jumlah ini sangat besar, bekalan air mula masuk dalam sistem dan air ini percuma dan bila sudah masuk, tidak akan berlaku krisis air di Selangor. Pada 2 April nanti, air akan masuk sepenuhnya dengan kapasiti dua kali ganda atau 1,130 juta liter sehari.

“LRA Langat 2 ini adalah isu besar bagi kita dan hendak atau tidak, April nanti, air akan masuk percuma dalam sistem kerana pada bulan itu ujian penuh akan dijalankan. Kalau tidak berlaku masalah pengurangan air pada bulan itu, maknanya ia bukanlah disebabkan faktor lain tapi air tambahan dari LRA Langat 2.

“Walaupun kerajaan Selangor mendapat bekalan air tambahan percuma ini, Kerajaan Persekutuan tetap perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membayar kepada kerajaan negeri Pahang disebabkan kegagalan kerajaan Selangor melengkapkan perjanjian berhubung dengan keseluruhan proses penstrukturan semula itu,” katanya.

Beliau berkata, Selangor perlu menjadi kerajaan bertanggungjawab dalam mematuhi perjanjian, hak rakyat Selangor untuk mendapatkan bekalan air bersih tidak boleh dinafikan.

Info
Krisis air Selangor

  • Rundingan penyusunan semula aset air di Selangor bermula pada 2008.
  • Pelaburan berbilion-bilion ringgit diperlukan untuk meningkatkan kapasiti infrastruktur air.
  • Penstrukturan semula membabitkan pemindahan atau penjualan aset air yang dimiliki oleh kerajaan atau entiti yang berkaitan Kerajaan Persekutuan.
  • Kerajaan Persekutuan kemudian akan memajak kembali aset terbabit kepada kerajaan negeri atau entiti berkaitan untuk digunakan.
  • 50 peratus gangguan bekalan air dilaporkan di negara ini berlaku di Selangor dengan catatan 83,729 kes.
  • Bekalan air Selangor tidak dapat diselia dengan berkesan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengikut pindaan Akta 655.
  • Selangor tidak boleh mendapatkan bantuan kewangan untuk membangunkan infrastruktur aset air lebih kompetitif dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berbanding pembiayaan komersial.
  • Pelaburan modal yang lebih kecil oleh kerajaan negeri akan menjejaskan aspek kualiti dan kuantiti bekalan air kepada penduduk Selangor.
  • Margin rizab air terawat yang rendah dalam julat 4 peratus menjejaskan sektor pembangunan hartanah. Sehingga Januari lalu, 761 permohonan projek pembangunan baharu terpaksa ditangguhkan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak dapat menjamin bekalan air yang mencukupi.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/395436/penduduk-merana-krisis-air-tiada-noktah

UTAMABERITAPenduduk Selangor merana krisis air tiada noktah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium