Syurga, neraka bukan Mujahid yang punya – Tok Mat Hasan

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar kenyataan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang menggambarkan penyatuan ummah oleh UMNO dan Pas sebagai ‘perlumbaan ke neraka.’

Beliau berkata, adalah tidak wajar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia mengguris perasaan umat Islam.

“Dia cakap konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa Pakatan Harapan (PH) bukan hendak tandingi penyatuan ummah atau Muafakat Nasional yang disifatkannya berlumba-lumba hendak jalan ke neraka. Tetapi Rahmatan Lil Alamin berlumba ke syurga.

“Begitu rendah akhlaknya. Isu syurga neraka bukan dia punya. Jangan ingat jadi Menteri Agama sudah dapat pas terus masuk syurga. Kita puasa, bayar zakat, naik haji itu kewajipan kita. Masuk atau tidak ke syurga, Allah yang tentukan.

“Saya amat kesal seorang menteri bercakap begitu lebih-lebih lagi beliau Menteri Agama. Di mana dia belajar, tinggi benar agamanya,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Penyatuan Ummah Parlimen Tampin di Dataran Cili Padi 2, Gemas di sini malam tadi.

Yang turut hadir Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; Presiden Berjasa, Prof. Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.

Mujahid baru-baru ini berkata, gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak berhasrat menandingi konsep penyatuan ummah yang dianggapnya sebagai pertandingan ke neraka, sebaliknya beliau mahu pertandingan ke syurga.

Mohamad berkata, kenyataan Mujahid itu adalah salah satu contoh kegagalan pemimpin kerajaan PH walaupun telah lebih setahun mentadbir negara.

“Mereka tak ada hala tuju umpama beruk dapat bunga yang tak tahu hendak buat apa dan dikoyak-koyakkan bunga itu.

“Kerajaan yang ada ini memudaratkan rakyat dan negara. Dalam Islam kalau mudarat kita kena buat sesuatu (untuk menghentikannya),” ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu yang mendorongnya untuk berjumpa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa memangku tugas-tugas Presiden UMNO dan seterusnya memulakan usaha ke arah kerjasama kedua-dua parti itu.

“Selagi ada tulang empat kerat walau apa berlaku kita kena bersatu. Selagi kita berbalah, kita dan anak cucu akan rugi, akhirnya mereka berdagang di negara sendiri.

“Walau ramai keji kata Pas dan UMNO tak boleh bersatu, kita lupakan perkara lalu dan pandang ke depan. Kita tak ada lagi pilihan, hanya ada satu iaitu kita bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE