ECRL Jana 45,000 Kerja Untuk Rakyat Malaysia – @NajibRazak

KUALA LUMPUR: Kira-kira 45,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan menerusi pembinaan fasa ke-2 projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan peluang pekerjaan ini harus dibuka kepada rakyat Malaysia dan tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan tenaga kerja asing.
“Bagi meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia dalam pembinaan dan pengurusan projek InfraRakyat (projek bertunjangkan kepentingan rakyat) ECRL ini, 1 program latihan peningkatan kemahiran berkaitan pembinaan dan pengurusan ECRL akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Insya Allah, semoga ramai dapat menerima manfaat dalam arus transformasi ini,” katanya dalam catatan blog di www.najibrazak.com hari ini.
Terdahulu, hari ini, Najib menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat China Communications Constructions Company Limited China (CCCC) dan Malaysia Railway Link Sdn Bhd (MRL) bagi projek sambungan laluan kereta api dari Gombak ke Pelabuhan Klang, membabitkan laluan sejauh 88km.
Perdana menteri berkata, perjanjian yang dimeterai di Beijing itu adalah susulan kepada pengumuman pembinaan fasa 1 ECRL dari Wakaf Bharu ke Gombak pada November 2016.
“Dengan itu, sukacita saya rumuskan inisiatif kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan kesalinghubungan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur kini berada pada landasan tepat dan berjalan lancar,” kata Najib.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau rapi projek itu, selain melipatgandakan usaha agar ia dapat direalisasikan.
Najib berkata, beliau secara peribadi melihat projek InfraRakyat ECRL itu membawa makna besar bukan sahaja kepada sektor perdagangan, malah memudahkan pengangkutan dan pengalihan barangan di Semenanjung Malaysia, sekaligus mengurangkan masa dan kos.
“Ia juga bakal memanfaatkan penduduk luar bandar dari segi peluang perniagaan serta kemudahan perjalanan,” katanya.

8 Replies to “ECRL Jana 45,000 Kerja Untuk Rakyat Malaysia – @NajibRazak

Leave a Reply