KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen bersama wanita warga negara China semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kedua-duanya disyaki terbabit dalam cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini.
Menurut laporan polis, semasa kejadian sekitar 1.30 petang semalam (Selasa – 17/9/2019), seorang anggota polis yang membuat rondaan bersama rakannya telah menahan kereta sedan Hyundai Sonata berwarna silver nombor pendaftaran BHC 2920 dalam keadaan mencurigakan di aras 1 MTB KLIA lorong kanan bersebelahan parking blok C/D .
Anggota polis telah menahan seorang wanita, Tan Choo Hoon, 45 yang memandu Kenderaan berkenaan dan pemeriksaan yang dilakukan terhadap kenderaan berkenaan, polis menemui kotak plastik berwarna kelabu di bawah tempat duduk hadapan. Wanita tersebut juga menyerahkan sebuah beg galas warna hitam.
Pemeriksaan keatas kotak yang ditemui mengandungi 120 keping wang tunai RM50 berjumlah RM6,000, wang syiling pelbagai nilai berjumlah RM16, dua keping dokumen perjalanan China atas nama Li, Lao San, Hou, Yao Zong dan sekeping keping pasport Indonesia atas nama Udayandani dan sekeping kad pengenalan MyPR warna merah atas nama Ricardo Cabangaan.
Turut ditemui sebanyak 152 keping pelekat tertulis Jabatan Imigresen Malaysia berwarna hijau muda dengan pelbagai nombor siri juga 12 keping pelbagai cop imegresen keluar masuk negara Malaysia, dua dakwat stamp warna hitam dan merah serta sebuah beg kecil berwarna biru hitam didalam beg galas yang diserahkan oleh wanita berkenaan.
Selain itu, wang tunai berjumlah RM2,702.85, pelbagai nilai (RM100.00 x 24 keping) ( RM50.00 x 6 keping) dan wang syiling pelbagai nilai, sebuah SD card hitam, tiga telefon bimbit berwarna hitam turut dirampas.
Ketika pemeriksaan keatas kenderaan dijalankan, seorang lelaki berusia 40 tahun menghampiri polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen diluar tugas ketika kejadian, beliau mengaku kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu wanita Cina adalah miliknya termasuk kotak plastik yang ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
Tambah anggota polis itu, lelaki yang mengakui dirinya pegawai imigresen itu juga mengakui tiga keping passport yang ditemui dalam kotak adalah milik kenalan beliau yang kini berada di luar Malaysia dan akan masuk ke negara ini.
“Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut oleh polis KLIA.
“Semakan rekod mendapati lelaki dan wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah dan semakan pada Hyundai Sonata yang dipandu wanita itu mendapati nombor casis dan nombor enjin tidak sama dengan nombor didalam pendaftaran JPJ.
Suspek dan kenderaan dibawa balik ke Balai Aeropolis KLIA untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.