Politik Perak kembali bergolak selepas tersebar berita beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengambil keputusan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan mereka di peringkat negeri.
Bagaimanapun, semua mereka dikatakan mengambil keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun tidak lagi bersama DAP.
Seorang pemimpin DAP negeri, ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan ada beberapa wakil rakyat dari DAP akan keluar parti tetapi beliau tidak dapat memastikan bilangan sebenar mereka yang berbuat demikian.
Khabar mengatakan lapan ADUN DAP termasuk seorang berjawatan EXCO akan keluar parti tetapi sehingga kini ia masih tidak dapat disahkan.
Terdahulu, viral dalam media sosial mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Perak kerana beberapa ADUN DAP keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.
Ketika ini, PH memerintah Perak menerusi majoriti mudah apabila memiliki 31 ADUN termasuk seorang ADUN bebas, manakala pembangkang mempunyai 28 kerusi iaitu 25 dimiliki UMNO dan tiga ADUN PAS.
Kemelut dalam DAP Perak bermula apabila beberapa ADUN parti itu tidak berpuas hati dengan Pengerusinya, Nga Kor Ming, yang didakwa mahu membincangkan jawatan EXCO yang disandang ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, dalam PH negeri.
Ia berikutan kedudukan Choo Kiong yang menghadapi tuduhan merogol pembantu rumahnya yang mana perbicaraan kes itu akan diadakan bulan depan.
Berikutan itu, bulan lalu, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng meletakkan jawatan sebagai Timbalan Bendahari manakala ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih meletakkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Organisasi DAP.
Ia dihangatkan lagi dengan penularan surat jawapan Jabatan Pendidikan Perak yang membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan lawatan awal ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini di Perak.
Dalam surat itu menyatakan jabatan berkenaan tiada halangan terhadap SPR untuk berurusan dengan sekolah-sekolah dalam masa antara 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh 1 September lalu sehingga 30 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini menafikan ia sebagai petunjuk PRN akan diadakan di Perak kerana kerajaan negeri dimaklumkan bahawa lawatan awal tapak yang dibuat adalah amalan biasa pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri atas urusan rasmi mereka. – BH