KOTA MARUDU: Dua wanita parah apabila van yang dinaiki 13 penumpang termasuk guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), murid dan ibu bapa terbabas di Jalan Marak Parak berhampiran Kampung Timbang Batu 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang itu, guru tabika berusia 30 tahun dan ibu kepada salah seorang murid berusia 29 tahun, kedua-duanya cedera patah tangan kiri.
Pemandu lelaki, 35, dan seorang lagi penumpang wanita berusia 43 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata hanya empat mangsa yang cedera dalam kejadian itu manakala selebihnya terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati van yang membawa rombongan murid Tabika KEMAS Taman Beringin, Kota Marudu itu dalam perjalanan pulang dari satu program di Ranau.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van Toyota Hiace itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.
“Operasi menyelamat dibantu pasukan bomba yang menghantar semua mangsa ke hospital Kota Marudu untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata lima anggota bersama satu jentera dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada sebahagian mangsa terbabit di lokasi manakala pemeriksaan kenderaan turut dijalankan bagi mencegah kemerbahayaan lain,” katanya dan memberitahu operasi ditamatkan pada jam 4.12 petang.