612 orang diberhentikan kerja di Negeri Sembilan - pakdin.my

SEREMBAN – Seramai 612 orang telah diberhentikan kerja di Negeri Sembilan tahun lepas ekoran penutupan operasi syarikat selain daripada langkah penstrukturan semula organisasi yang diambil majikan bagi mengurangkan kos operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar berkata, daripada jumlah itu, 556 orang adalah pekerja tempatan manakala baki 56 orang adalah pekerja asing.

“Pemberhentian kerja pada 2019 melibatkan 63 majikan, iaitu 24 majikan telah menutup operasi manakala 39 lagi telah melaksanakan langkah pengurangan pekerja. Sebanyak RM17.5 juta telah dibayar sebagai pampasan kepada mereka yang diberhentikan.

“Kerajaan negeri bagaimanapun mengambil serius segala permasalahan berkaitan dengan pekerja yang terlibat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) S. Tharumarajan.

Katanya, angka berkenaan merupakan jumlah yang direkodkan oleh JTKNS.
Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata bagi tahun 2018, sebanyak 40 majikan telah melaksanakan langkah pemberhentian pekerja melibatkan seramai 421 orang terdiri daripada 414 pekerja tempatan dan tujuh daripadanya, pekerja asing.

“Trend pemberhentian kerja pada 2018 dan 2019 bagaimanapun adalah terkawal berbanding dengan trend tahun-tahun sebelumnya. Trend pemberhentian kerja pada tahun 2014 melibatkan 17 majikan dan 730 pekerja, 2015 (19 majikan dan 857 pekerja), 2016 (40 majikan dan 1,275 pekerja) dan 2017 (43 majikan dan 1,327 pekerja).

“Ini bermakna, pemberhentian kerja ini bukanlah sesuatu yang secara tiba-tiba berlaku…jika dilihat pada tahun 2014, ia pun berlaku dan begitu juga pada tahun 2015, 2016 dan 2017,” katanya dan menambah proses pemberhentian kerja yang dilakukan adalah mengikut keperluan dan situasi sesebuah syarikat. – Bernama

UTAMAEKONOMI612 orang diberhentikan kerja di Negeri Sembilan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium