Pelancong ke empat disahkan positif coronavirus - pakdin.my

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti koronavirus.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes positif yang dilaporkan, awal hari ini.

“Kes terbaru ini membabitkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Individu berkenaan tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura.

“Dia datang bersama sekumpulan pelancong warga China membabitkan 17 individu yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya. Lelaki itu mula mengalami gejala demam pada 23 Januari lalu dan keesokannya dia pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta berhampiran.

“Lelaki itu kemudian dirujuk oleh pihak hospital swasta berkenaan untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes terbabit sudah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Pada petang tadi, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif wabak berkenaan.

“Ketika ini, lelaki itu masih demam dan batuk, namun berada dalam keadaan stabil. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor bertindak segera dengan mengesan semua 17 individu daripada kumpulan pelancongan sama yang disertai oleh lelaki berkenaan dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya sudah diambil dalam kalangan kumpulan itu untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan wabak berkenaan di MKAK Sungai Buloh,” katanya.

Katanya, semua individu terbabit diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat disediakan sementara menunggu keputusan ujian dijalankan terhadap mereka.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru, Johor disahkan positif bagi koronavirus.

Mereka adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China yang didapati positif bagi virus itu di Singapura.

Dzulkefly dilaporkan berkata, tiga yang terbabit ialah wanita berusia 65 tahun yang juga isteri pesakit di Singapura itu dan dua cucu lelakinya.

UTAMABERITAPelancong ke empat disahkan positif coronavirus

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium