Warga S’pura perlu siap hadapi penularan virus Wuhan dalam masyarakat - pakdin.my

SINGAPURA: Walaupun tidak ada penyebaran tempatan virus korona Wuhan di negara ini, warga Singapura perlu bersedia menghadapi virus itu menular dalam kalangan masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

“Kita belum ada jangkitan tempatan atau penularan dalam masyarakat, namun ia mungkin berlaku dan kita mesti bersiap sedia menghadapinya,” kata PM Lee dalam catatan Facebook pada Selasa (28 Jan), beberapa jam selepas pihak berkuasa di Singapura meningkatkan langkah-langkah membendung penularan virus itu.

PM Lee berkata pakar-pakar percaya bahawa virus Wuhan mungkin kurang membawa maut tetapi lebih mudah berjangkit berbanding Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS).

Ini bermakna pesakit yang dijangkiti virus Wuhan boleh menyebarkannya sebelum menunjukkan sebarang tanda-tanda.

“Jika benar, ini akan menjadikannya lebih sukar untuk menyaring dan mengesan kes-kes baru, dan untuk membendung penyebaran itu,” PM Lee memberi amaran.

Wabak SARS pada 2003 menjangkiti 238 orang di Singapura dan mengakibatkan 33 kematian di sini.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa mulai tengah hari Rabu (29 Jan), pengunjung yang pernah ke China Hubei – pusat bermulanya penularan virus – dalam tempoh 14 hari lalu atau memegang pasport China yang dikeluarkan di wilayah itu akan dilarang memasuki atau singgah di Singapura.

Penduduk Singapura dan pemegang pas jangka panjang, seperti pas kerja, yang kembali dari luar negara dan baru-baru ini melawat Hubei, akan dikuarantin.

Singapura mengesahkan tujuh kes jangkitan virus itu, semuanya warga China dari bandar Wuhan.

Virus tersebut dipercayai berasal dari pasaran hidupan liar haram di Wuhan, ibu kota Hubei. Ribuan orang sudah dijangkiti virus itu dan lebih 100 meninggal dunia.

PM LEE GESA TENANG

Perdana Menteri Lee berjanji pemerintah akan terus memantau keadaan dan melakukan lebih banyak jika perlu.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya tenang.

“Kita semua boleh melakukan peranan masing-masing untuk membendung penyebaran kuman dengan mengamalkan amalan kebersihan yang baik. Basuh tangan anda dengan kerap, dan dapatkan nasihat perubatan lebih awal dan pakai pelitup jika anda merasa tidak sihat.

“Tetapi pada umumnya, tidak perlu memakai topeng jika anda tidak sakit,” kata PM Lee.

Beliau menekankan bahawa Singapura sudah bersedia menghadapi krisis seperti ini sejak wabak SARS pada 2003.

“Kami telah mengaktifkan pelan kecemasan kami dan semua agensi kita bekerjasama. Hospital dan kakitangan penjagaan kesihatan sudah bersedia,” kata Encik Lee.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak mendengar atau menyebarkan khabar angin, dan mendapatkan maklumat terkini dari sumber yang dipercayai.

PELITUP MENCUKUPI JIKA DIGUNA SECARA BERTANGGUNGJAWAB

Sementara itu, Dr Lam Pin Min, Menteri Negara Kanan Kesihatan, memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa bekalan pelitup muka di Singapura mencukupi jika ia digunakan secara wajar dan bertanggungjawab.

“Tidak perlu tergesa-gesa membeli pelitup. Kami sedang bekerjasama dengan peruncit seperti NTUC FairPrice dan Unity Pharmacy untuk menambah bekalan,” tulisnya di Facebook.

Ini susuli lawatan beliau ke sebuah gudang untuk memeriksa stok simpanan bersama Anggota Parlimen Seah Kian Peng, yang juga ketua pegawai eksekutif NTUC FairPrice.

Dr Lam berkata orang ramai mungkin perasan bahawa sesetengah peruncit sudah mula menjual topeng dalam pek dengan jumlah yang lebih kecil.

“Ini untuk memastikan terdapat bekalan yang mencukupi untuk rakyat Singapura dan untuk mengelakkan penimbunan yang tidak perlu.

“Kami juga bekerjasama dengan peruncit untuk menguruskan harga dan kami mengingatkan mereka agar tidak mengambil keuntungan berlebihan daripada permintaan meningkat,” kata Dr Lam.

– TODAY/TQ/tq

UTAMADUNIAWarga S'pura perlu siap hadapi penularan virus Wuhan dalam masyarakat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium