Wanita warga Singapura antara yang dibawa pulang dari Wuhan disahkan dijangkiti #coronavirus - pakdin.my

  • Beliau adalah salah seorang daripada 90 rakyat Singapura yang diterbangkan pulang ke tanah air menaiki pesawat Scoot semalam (30 Jan)
  • Beliau bagaimanapun tidak menunjukkan simptom tidak sihat semasa menaiki pesawat tersebut.

SINGAPURA: Seorang wanita warga Singapura menjadi penduduk tempatan pertama yang disahkan dijangkiti virus coronavirus. Beliau adalah antara tiga kes baru coronavirus, sekali gus menjadikan jumlahnya di Singapura 16 kes sejauh ini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi satu kenyataan media yang dikirimkan malam ini (31 Jan).

Wanita berusia 47 tahun itu sebelum ini berada di Wuhan bersama keluarganya. Beliau adalah salah seorang daripada 90 rakyat Singapura yang diterbangkan pulang ke tanah air menaiki pesawat Scoot semalam (30 Jan).

Beliau bagaimanapun tidak menunjukkan simptom tidak sihat semasa menaiki pesawat tersebut. Namun sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama, beliau didapati mengalami demam semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Wanita itu segera dikejarkan ke Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID), menurut kenyataan media MOH itu. Beliau kemudian disahkan dijangkiti coronavirus sekitar pukul 2.00 petang tadi dan kini ditempatkan di wad pengasingan di NCID.

Kes wanita itu dicatat sebagai kes jangkitan coronavirus yang ke-15 disahkan di Singapura.

KES KE-14 – LELAKI CHINA PEMEGANG PAS KERJA S’PURA

Lagi dua kes baru, iaitu disifatkan sebagai kes ke-14 dan ke-16, juga merupakan kes import, yang dijangkiti oleh penduduk China.

Kes ke-14 ialah seorang lelaki China berusia 31 tahun yang memegang Pas Kerja Singapura. Selepas mengunjungi wilayah Hubei, beliau tiba di Singapura daripada Wuhan pada 26 Januari.

Lelaki itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sepanjang penerbangan ke Singapura. Namun mula mengalami simptom-simptom pada 28 Januari.

Beliau berjumpa doktor di sebuah klinik semalam dan dihantar menaiki ambulans ke NCID, di mana beliau segera dikuarantin.

Lelaki itu disahkan dijangkiti coronavirus pada sekitar pukul 11.00 malam semalam menyusuli ujian-ujian yang dijalankan ke atasnya. Beliau kemudian ditempatkan di wad pengasingan di NCID.

KE-16 – LELAKI WARGA CHINA TIBA DARI WUHAN

Kes ke-16 pula melibatkan seorang lelaki warga China yang tiba di Singapura daripada Wuhan pada 22 Januari.

Beliau disahkan dijangkiti coronavirus hari ini sekitar pukul 2.00 petang dan ditempatkan di wad pengasingan di Hospital Besar Singapura (SGH).

Menurut MOH, ketiga-tiga individu dalam kes terbaru itu berada dalam keadaan stabil.

Ia menambah, sejauh ini tidak ada satu pun daripada semua 13 kes sebelum ini yang sedang sakit tenat. Semuanya juga berada dalam keadaan stabil. Malah sebahagian besar daripada mereka semakin pulih.

Sehingga hari ini (31 Jan), sebanyak 198 kes yang disyaki sudah diuji negatif virus Wuhan. Sementara hasil ujian ke atas lagi 35 kes masih belum diketahui.

Buat masa ini, usaha-usaha pengesanan (contact tracing) bagi kes-kes yang sudah disahkan sedang dijalankan dan sebaik sahaja dikenal pasti, MOH akan memantau kesemuanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin selama 14 hari, bermula dari hari terakhir mereka berada bersama pesakit.

Selain itu, semua individu yang sudah dikenal pasti, namun hanya berisiko rendah dijangkiti, akan ditempatkan di bawah pemantauan secara kerap dan akan dihubungi setiap hari untuk mengetahui keadaan kesihatan mereka.

Sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, MOH sudah mengenal pasti 202 orang yang bersentuhan atau berhubungan rapat dengan pesakit.

Daripada 162 orang yang masih berada di Singapura, 156 sudah dihubungi dan sedang dikuarantin atau sudah diasingkan.

Usaha untuk terus menghubungi baki enam individu masih dijalankan.

NASIHAT KESIHATAN

Semua rakyat Singapura dinasihati agar menangguhkan semua perjalanan ke wilayah Hubei dan juga perjalanan tidak penting ke China.

Para pelancong juga digesa memantau kesihatan mereka selama dua minggu dan segera mendapatkan rawatan jika mereka tidak sihat dan memaklumkan kepada doktor sejarah perjalanan mereka.

Jika mereka mengalami demam atau masalah pernafasan seperti batuk atau sesak nafas, mereka perlu memakai pelitup dan menghubungi klinik sebelum keluar rumah.

Para pelancong dan orang ramai juga dinasihati agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Berikut adalah antara langkah-langkah yang boleh diambil:

1) Elak menyentuh atau menghampiri haiwan termasuk ayam, itik dan burung atau memakan daging mentah atau yang tidak dimasak dengan betul.

2) Elak daripada bersentuhan atau berada dekat dengan orang yang tidak sihat atau yang menunjukkan tanda-tanda tidak sihat

3) Jaga kebersihan diri

4) Sering cuci tangan menggunakan sabun – sebelum mengendalikan makanan atau sebelum makan, selepas ke tandas atau selepas batuk dan bersih pada tangan

5) Pakai pelitup jika anda mengalami masalah pernafasan seperti batuk atau sesak nafas

6) Tutup mulut dengan tisu apabila batuk atau bersin dan segera buang tisu yang sudah digunakan ke dalam tong sampah

7) Segara berjumpa doktor jika anda tidak sihat

Sedang kakitangan perubatan mengendalikan kes-kes pneumonia daripada individu-individu yang baru pulang dari China, jumlah kes yang disyaki dijangkiti virus Wuhan dijangka akan meningkat.

– BERITAmediacorp/nk

UTAMADUNIAWanita warga Singapura antara yang dibawa pulang dari Wuhan disahkan dijangkiti #coronavirus

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium